Projek Sungai Segget Siap Akhir Tahun

img_0017

 

JOHOR BAHRU, 16 Okt – Fasa Satu dan Dua berkaitan rehabilitasi dan menaiktaraf Sungai Segget dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Ia sekaligus membolehkan Jalan Wong Ah Fook, yang kini dibuka hanya satu lorong, dibuka sepenuhnya Januari depan.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata sehingga kini, dua fasa projek itu telah siap 88 peratus, manakala kerja-kerja landskap dan pengindahan pula dijangka selesai pada 2018.

“Fasa Satu membabitkan pembinaan loji rawatan air kumbahan (Sewage Treatment Plant) dan Fasa Dua, yang melibatkan penyediaan sistem tebatan banjir, akan siap penghujung tahun ini.

“Ia membolehkan Jalan Wong Ah Fook kembali dibuka kepada tiga lorong termasuk satu lorong khas untuk pengangkutan awam seperti bas,” katanya kepada media selepas menerima taklimat mengenai status projek tersebut di Pejabat Projek itu, dekat sini, hari ini.

Taklimat lebih sejam itu disampaikan oleh Pengarah Projek Sungai Segget, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Mohd Zam Mustaman.

Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johot Bahru, A. Rahim Nin dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata Fasa Ketiga projek itu akan membabitkan kerja-kerja landskap bagi mengindahkan kawasan terbabit, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM40 juta.

“Kita bertuah kerana projek ini menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat berjumlah RM280 juta.

“Kos bagi Fasa Satu dan Dua sahaja berjumlah RM240 juta, manakala selebihnya untuk Fasa Ketiga,” katanya.

Beliau menambah, usaha memulihkan Sungai Segget kepada era kegemilangannya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat.

“Menjaga dan memelihara kebersihan sungai selepas ia dinaiktaraf penting bagi mengelakkan ia kembali menjadi kotor seperti keadaan sebelum dinaiktaraf.

“Semua ini, kalau rakyat tidak jaga, kita kena tanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menambah, apabila siap sepenuhnya, projek itu mampu menjadi satu lagi daya tarikan bertaraf global untuk Bandaraya Johor Bahru.

“Jadi masyarakat kena bersama-sama memastikan ini menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial