Projek ternakan kerang-kerangan tingkat pendapatan nelayan

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri akan membangunkan projek ternakan kerang-kerangan menerusi Jabatan Perikanan tahun hadapan bagi membantu nelayan pantai di negeri ini meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, projek ternakan tiram, kupang dan kerang itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

 Katanya, projek yang akan dibangunkan secara kluster itu membabitkan 25 peserta akan menerima peruntukan kemudahan ternakan bernilai RM25,000 seorang.

"Kluster ternakan kupang akan dilaksanakan di Pulau Nenas dan Teluk Kabong di Johor Bahru serta Sungai Lebam di Kota Tinggi.

"Manakala ternakan kerang pula akan dilaksanakan di Sungai Ayam, Batu Pahat sementara ternakan tiram akan dibangunkan di Teluk Sengat, Kota Tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 13 di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menyambut baik usaha pemerkasaan industri pertanian dan asas tani seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melalui ucapan Bajet 2015.

"Sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Komuniti Bio-ekonomi dan sejumlah RM2 juta hingga RM4 juta untuk Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian Johor.

"Selain itu peruntukan berjumlah RM3 juta untuk Jabatan Veterinar melalui kerjasama dengan Johor Corporation Bhd. (JCorp), RM2 juta melalui Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia dan peruntukan RM20 juta untuk pembelian tanah pertanian yang akan disewakan kepada usahawan Bumiputera," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial