PROMOSI TAMAN LAUT SULTAN ISKANDAR BERTERUSAN

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri terus mempromosikan Taman Laut Sultan Iskandar di Mersing, sebagai antara destinasi pelancongan menarik di Johor yang mampu menarik minat kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Taman Laut Sultan Iskandar yang merangkumi 13 pulau di perairan Mersing mempunyai keindahan tersendiri, unik dan kaya dengan pelbagai kehidupan marin. 

Katanya, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) sedang mengumpul data berkenaan habitat dan hidupan marin yang terdapat di Taman Laut Sultan Iskandar, untuk diterbitkan dalam portal perbadanan itu. 

"Selain itu, PTNJ juga sedang berusaha mengenalpasti lokasi baharu bagi aktiviti menyelam di sekitar perairan Mersing bagi menarik kehadiran pelancong," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan A. Aziz Ismail (BN-Senggarang) mengenai insiatif kerajaan Johor dalam mempromosikan kepulauan sekitar Mersing sebagai destinasi pelancongan setempat pada Penggal Persidangan ketiga Dewan Negeri Johor ke-13 di sini hari ini.

Tee berkata, usaha promosi lain yang turut dilaksanakan termasuk penyebaran maklumat menerusi pameran pelancongan di dalam dan luar negara. 

"Usaha ini termasuk menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat produksi dari luar negara bagi membuat pengambaran di beberapa lokasi menarik di Taman Laut Sultan Iskandar. 

"Kerajaan negeri turut mengenalpasti beberapa kawasan di Mersing yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk sokongan," katanya. 

Menjawab soalan tambahan K.Raven Kumar (BN-Tenggaroh) mengenai manfaat yang diperoleh penduduk tempatan hasil pembangunan di Mersing, Tee berkata melalui pembentangan Bajet Johor 2015, sejumlah RM12.7 juta sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi pembangunan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing dan Pembangunan Pelancongan Inap Desa di daerah itu.

“Usaha ini selari dengan sasaran Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang ingin meletakkan Mersing sebagai destinasi pelancongan serantau, prasarana pelancongan Mersing akan dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pembangunan Pusat Industri Kecil dan Sederhana (SME) bagi mendukung usahawan kecil di Mersing juga sudah mendapat peruntukan RM10 juta.

“Ini adalah usaha bagi menggalakkan penglibatan masyarakat tempatan dalam menyediakan produk sampingan atau ole-ole kepada pelancong.

“Sehingga kini, seramai 96 usahawan di daerah itu telah mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial