Pusat Informasi Pelaburan Johor Ditambah Baik

SHANGHAI, 14 April – Peranan pusat informasi pelaburan di Johor akan ditambah baik dalam usaha memastikan syarikat dan pelabur asing, boleh mendapatkan maklumat pelaburan yang tepat.

Ketika ini, peranan pemudah cara dan usaha menarik pelaburan asing di negeri itu dilaksanakan Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peranan pusat pelaburan di Johor perlu lebih jelas bagi menjadi pemudah cara kepada pelabur luar yang mahu melabur di negeri itu.

Katanya, peranan JSIC juga akan diperluaskan bagi membantu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membawa lebih banyak pelaburan ke Johor.

“Pusat pelaburan di Johor perlu lebih jelas peranannya dan ditambah baik. Ada pelabur mempunyai masalah mendapatkan ‘first hand information’ (maklumat tepat).

“Contohnya, ada pelabur bertanyakan mengenai tanah, bagaimana mahu membina taman tema tetapi tidak tahu di mana mahu mendapatkan maklumat terperinci.

“Jarang syarikat (pelabur luar) bertanyakan soalan begitu, tetapi ia perlu diambil kira,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri perbincangan meja bulat bersama 20 pemain industri dari China di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan perbincangan tertutup dan menandatangani tiga perjanjian persefahaman (MoU) bersama tiga syarikat iaitu Beijing Huize Boyuan Robot Investment Company Limited China, Everbright International Limited dan D&Y Textile. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial