Puteri UMNO Johor Fokus Isu Pembangunan Modal Insan dan Pendidikan Agama

Puteri UMNO Johor Fokus Isu Pembangunan Modal Insan dan Pendidikan Agama

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Isu pembangunan modal insan dan pendidikan agama berjaya diketengahkan dan diberi perhatian dalam Persidangan Pergerakan Puteri UMNO 2016, hari ini.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu Pahat, Masrini Rahmad berkata usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedua-dua bidang pendidikan tersebut adalah sama pentingnya.

“Usaha memperkasa dasar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid.

“Tetapi pihak kementerian perlu mengkaji secara mendalam sebelum melaksanakannya dan bukan dijadikan gelanggang ‘try and error’ bagi sesuatu sistem.

“Tambahan, murid-murid juga tidak boleh dijadikan sebagai bahan ujikaji atau ‘tetikus makmal’,” katanya ketika berucap membahaskan usul pendidikan di Perhimpunan Agung UMNO 2016, di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Masrini juga menekankan mengenai usaha memartabatkan pendidikan agama.

“Pendidikan agama perlu dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran wajib lulus.

“Ini kerana pendidikan agama merupakan salah satu khazanah keunikan negeri Johor yang diwarisi sejak turun temurun dan dipertahankan sehingga ke hari ini.

“Malah, sistemnya yang berkesinambungan mempunyai arah tuju tersendiri bermula daripada peringkat Tadika Agama Johor, Sekolah Agama, Sekolah Menengah Agama dan Institusi Pengajian Tinggi Agama Johor.

“Untuk itu, ia perlu diperkasa dan dimartabatkan untuk dimanfaatkan kepada hampir 58,000 guru pendidikan Islam, 400 buah sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan termasuk 220 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,”  katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial