Rakyat Johor Boleh Nilai Sendiri Pencapaian Kerajaan Negeri

image

 

JOHOR BAHRU, 8 Okt – Kerajaan Negeri menegaskan segala pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang dicatatkan di Johor bukanlah satu kenyataan yang retorik semata-mata, tetapi menjadi kayu ukur pencapaian dan kemampuan kerajaan sedia ada mentadbir negeri.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata melaluinya rakyat dapat menilai sendiri betapa majunya Johor di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mempunyai agenda dan matlamat pembangunan yang jelas, di samping peka terhadap keperluan rakyat.

“Parti pembangkang boleh cakap apa sahaja, tetapi kita di peringkat Kerajaan Negeri tahu apa yang kita lakukan selama ini untuk membawa pelbagai kemajuan di Johor.

“Malah, rakyat juga tahu perkara ini kerana mereka dapat melihat sendiri betapa majunya Johor ketika ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Senai Airport City dan Bukit Amber di Kilometer 10.95, Lebuh Raya Utara Selatan, Senai dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembangkang mampu menawan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Rakyat Bersatu di Kampung Sungai Terap, Muar malam tadi.

Katanya, BN Johor tidak akan menyerah dan akan terus berjuang memenangi hati rakyat.

“BN Johor tidak akan menyerah dan akan terus melawan dan apa yang perlu kita lakukan bukannya hanya dengan retorik tetapi tunjukkan matlamat kita, agenda kita, usaha kita, pencapaian kita di Johor dan sebagainya.

“Kita mempunyai agenda yang jelas dan manifesto untuk membawa Johor jauh ke hadapan malah manifesto kita dalam pilihanraya lalu, 92 peratus sudah dicapai,” katanya.

Sementara itu, mengenai pembentangan Bajet 2017, beliau berkata Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan menimbangkan beberapa peruntukan untuk Johor khususnya dalam soal bekalan air dan pengangkutan awam.

“Dari segi rangkaian jalan raya dan sebagainya kita sudah berpuas hati dan kita tahu banyak Kerajaan Persekutuan sudah belanjakan untuk itu.

“Jadi sama-samalah kita tunggu ucapan bajet oleh Perdana Menteri dan kita berdoa semoga Johor mendapat perkara-perkara yang dirasakan perlu untuk mendokong kita mencapai hasrat dan matlamat kita,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial