RAKYAT JOHOR DIGESA PERKASA KEMAHIRAN, ILMU – KHALED NORDIN

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor hari ini digesa mengupayakan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan supaya bersedia menerima manfaat dalam pertumbuhan ekonomi negeri, kata Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pendekatan itu juga sekali gus penting demi memastikan rakyat tidak terpinggir daripada pembangunan yang dikecapi hari ini. ‎

“Pengupayan masyarakat menerusi transformasi masyarakat merupakan salah satu fokus kerajaan negeri Johor menerusi Bajet 2016 yang akan dibentangkan nanti.

“Kerajaan hari ini bukan kerajaan yang suap rakyat. Kita hendak lihat semua rakyat ada kemahiran dan boleh bekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Borneo Berbumbung, di Taman Megah Ria, di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Johor dalam pada itu juga perlu mengubah pemikiran sempit yang membelenggu mereka dengan menganggap status Bumiputera dan keistimewaan kaum sebagai alasan untuk berjaya dan memperoleh kekayaan.‎

Mohamed Khaled berkata kelebihan dan keistimewaan tidak menjamin seseorang individu untuk berjaya sekiranya mereka tidak mengupayakan ilmu serta kemahiran masing-masing.

Sementara itu, mengenai Pasar Borneo Berbumbung tersebut, beliau berkata sebanyak RM350,000 diperuntukkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor dan Majlis Bandaraya Johor Baharu untuk menaik taraf pasar berkenaan termasuk menyediakan bumbung.

Beliau yang diiringi Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Datuk Paul Igai berkata pasar yang menjual beraneka sayur dan makanan beridentitikan Sarawak itu memberi manfaat kepada 35,000 masyarakat Borneo yang menetap di kawasan sekitar.

“Kewujudan Pasar Borneo ini juga membuktikan kerajaan negeri mengiktiraf masyarakat Borneo kerana mereka bukan sahaja penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini malah mereka juga merupakan sebahagian masyarakat yang terlibat dalam permuafakatan bangsa Johor,” katanya. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial