Ramalan Perpecahan Tidak Jadi Kenyataan, UMNO Johor Masih Utuh


image

 

Kota Tinggi, 14 Ogos – Perpaduan di kalangan pemimpin serta ahli UMNO Johor masih utuh, meskipun telah menghadapi pelbagai gelora dan cabaran semenjak setahun yang lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ramalan sesetengah pihak tentang perpecahan UMNO Johor tidak menjadi kenyataan, kerana kekuatan parti itu berlandaskan kepada kematangannya yang telah dipupuk sekian lama.

“Ramai yang meramalkan bahawa UMNO Johor akan berpuak-puak, akan berpecah dan lemah, susulan penggantungan dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO. Namun ia tidak berlaku begitu, UMNO Johor masih seperti sebelum ini.

“UMNO Johor ini lahir sebelum lahirnya negara kita Malaysia, pada saat negara kita masih berantakan dan mencari maruah diri. Jadi, untuk sebuah gerakan siasah yang sematang ini, ia punya kekuatan yang luar biasa, lebih-lebih lagi di tempat kelahirannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi yang disempurnakan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tegas Mohamed Khaled, UMNO Johor perlu menerima realiti perjuangan dan terus menjalankan tugasnya meskipun telah kehilangan seorang pemimpin besar seperti Tan Sri Muhyiddin.

“Walaupun Tan Sri adalah tokoh besar Johor dan sangat berjasa, beliau telah memilih haluan sendiri, haluan yang berlainan. Jadi, UMNO Johor mesti menghormati pendirian tersebut dan tugas kita terhadap UMNO harus diteruskan, malah mesti ditingkatkan.

“Pastinya kalau diberikan pilihan, kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku. Ia bukan kehendak kita,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, perjuangan perlu diteruskan bagi mereka yang terus bersetia dengan wadah UMNO.

“Akan ada yang tercicir, tersasar, menarik diri, serta yang memilih jalan lain. Namun, yang harus kita fokuskan bukanlah kepada wujudnya perbezaan tersebut atau pada mereka yang pergi kerana itu sudah lumrah.

“Tetapi kita mesti memfokus dan memberikan perhatian kepada kebanyakan yang lain kerana bagi keseluruhan ahli UMNO Johor, UMNO itu bukan sekadar sebuah parti politik Melayu. Bukan sekadar sebuah institusi Melayu, tetapi UMNO itulah pencetus sebenar kemajuan bangsa Melayu,” tambah Mohamed Khaled.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial