RANKING KE 171 DUNIA SKUAD NEGARA MENYEDIHKAN – KIM SWEE

KUALA LUMPUR: Ranking Dunia FIFA skuad kebangsaan terus merudum dengan menyaksikan Malaysia kini berada di tangga ke-171 dunia.

Ini adalah ranking terendah yang pernah diduduki skuad negara. Rentetan kekalahan besar dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia tampak memberi kesan dalam ranking terkini skuad kebangsaan.

Kegagalan merakam kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa berdepan lawan seperti Hong Kong serta kekalahan kepada Oman turut menjejaskan kedudukan skuad negara.

Jurulatih sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengakui ia sesuatu yang amat menyedihkan dan mengecewakan bagi semua peminat sukan negara.

"Sudah tentu ia sesuatu yang amat menyedihkan dan mengecewakan semua pihak apabila kedudukan Malaysia dalam ranking terbaharu FIFA, hari ini turun dua anak tangga ke kedudukan tangga 171 dunia, kedudukan terburuk Malaysia dalam sejarah ranking FIFA sejak tahun 1993," katanya dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Tetapi pada masa yang sama Kim Swee tetap positif dengan menyatakan dua perlawanan antarabangsa menentang Laos dan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berdepan Timor Leste mampu memperbaiki kembali ranking negara seandainya Malaysia mencatatkan kemenangan.

"Tapi pada masa sama, kita bernasib baik juga kerana mempunyai dua perlawanan antarabangsa dalam masa terdekat iaitu bertemu Laos untuk aksi persahabatan A di Bangkok, Thailand pada 8 Oktober ini dan perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober.

"Jadi kita perlu mengambil sepenuhnya peluang daripada dua perlawanan ini untuk mendapatkan seberapa banyak mata ranking yang boleh dan jika kita menang kedua-duanya, sudah tentu kedudukan ranking kita akan dapat diperbaiki dengan baik berbanding kedudukan di tangga 171 ketika ini.

"Harapan saya, dua perlawanan seterusnya bertemu Laos dan Timor Leste ini perlu dijadikan sebagai titik kebangkitan untuk skuad kebangsaan kembali melakar kemenangan selepas kita belum memenangi sebarang perlawanan sepanjang tahun 2015 ini.

"Jika kemenangan mampu dicatat ketika bertemu Laos dan Timor Leste, sudah tentu apabila kemaskini seterusnya ranking FIFA pada 5 November ini akan menyaksikan Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan terburuk tangga 171 ini.

"Ia sekali gus mampu untuk dijadikan suntikan moral terpenting menjelang dua perlawanan berikutnya untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Palestin dan UAE pada 12 dan 17 November ini.

"Kita tak perlu menyalahkan sesiapa tetapi saya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki ranking Malaysia bermula dengan aksi bertemu Laos dan Timor Leste ini," katanya.

Di kalangan negara anggota AFC, Malaysia kini di tangga 32 daripada 46 negara.

Ranking di kalangan negara serantau pula menyaksikan barisan negara berada di kedudukan ketujuh daripada sebelas negara anggota AFF. Malah, Timor Leste, Myanmar dan juga Singapura kini berada di ranking lebih baik berbanding skuad negara – ASTRO AWANI
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial