Rapid beri Kontraktor Bumiputera

KHALED KONTRAKTORJOHOR BAHRU, 3 Mac – Kerajaan negeri akan memuktamadkan rundingan dengan Petronas tentang pengagihan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang untuk diberikan kepada kontraktor serta usahawan tempatan dan bumiputera.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun belum mengetahui jumlah peratusan projek yang bakal diperoleh oleh kontraktor dan usahawan terbabit, namun beliau menjangkakan keputusan akan diperoleh dalam tempoh terdekat itu adalah positif.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan disertai wakil Petronas turut diwujudkan bagi mengagihkan projek berkenaan.

"Kerajaan sentiasa mengambil kira peranan dan penyertaan pelbagai pihak termasuk syarikat tempatan, usahawan dan kontraktor dalam projek besar yang dijalankan termasuk projek Rapid.

"Kita bagaimanapun belum tahu berapa peratus diperoleh, tetapi secara prinsipnya Petronas bersetuju akan pentingnya memberi peluang kepada kontraktor dan usahawan tempatan bagi mengambil manfaat daripada projek berkenaan," katanya selepas merasmikan Wisma Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, di sini semalam.

Projek Rapid yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016 itu akan menjadikan Pengerang yang terletak di timur Johor sebagai hab industri minyak dan gas terbaharu di Asia Tenggara, menyaingi Singapura.

Projek itu turut meliputi, antaranya pembinaan loji penapisan minyak, loji petrokimia dan terminal simpanan minyak serta jeti laut dalam.

Menteri Besar berkata, kontraktor serta usahawan tempatan dan bumiputera negeri ini yang berminat dengan projek Rapid diminta mendaftarkan diri supaya boleh dinilai daripada segi kelayakan dalam mendapatkan kontrak tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di negeri ini supaya meletakkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) untuk melatih sekurang-kurangnya 10 syarikat bumiputera setiap tahun.

"Dengan itu kita dapat tumpukan program yang mampu memantapkan lagi syarikat bumiputera ini. GLC dan GLIC kena beritahu syarikat mana yang telah dilatih kerana kita mahu lihat hasilnya," katanya.

Credit to:

AZIZI MAJID

 

 

 

utusanjohor@utusan.com.my

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial