Rasulullah S.A.W. Seorang Pakar Ekonomi

gold

Ramai kalangan umat Islam mengetahui bahawa kehadiran Nabi Muhammad S.A.W. adalah untuk dicontoh dan diteladani merangkumi pelbagai bidang sosial, politik, keusahawanan, ketua peperangan, ketua keluarga, guru dan pelbagai lagi.

Namun sayang, tidak ramai mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W. juga adalah seorang pakar ekonomi ulung yang perlu dicontohi secara serius.

Menelusuri sejarah Islam, kepakaran Rasulullah S.A.W. dalam ekonomi dapat dilihat tatkala peristiwa hijrah, di mana penghijrahan kaum Muhajirin ke Madinatul Munawwarah bukan sekadar penghijrahan fizikal tetapi penghijrahan yang membawa perubahan kepada struktur organisasi masyarakat Arab, politik dan juga ekonomi.

Baginda menyedari sebagai ketua negara yang baru, ada tiga masalah utama yang perlu diselesaikan dengan segera. Pertama ialah masalah penempatan. Bayangkan kaum Muhajirin Makkah beramai-ramai meninggalkan kampung halaman sudah tentu sukar untuk mencari tempat untuk berteduh apabila hadir di negeri orang.

Kedua ialah masalah pengagihan kesejahteraan dan kekayaan yang adil kepada kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Mengikut perkiraan semasa, sudah tentu kaum pendatang tidak akan diutamakan berbanding penduduk asal tetapi sebaliknya perkara ini tidak berlaku.

Ketiga ialah masalah pengangguran di mana rata-rata kaum Muhajirin adalah pedagang manakala penduduk Madinah lebih cenderung kepada bidang pertanian. Ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada  kaum Muhajirin untuk mencari peluang pekerjaan.

Strategi yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W mungkin dilihat mudah tetapi membawa impak yang besar iaitu dengan mempersaudarakan Kaum Ansar dan Muhajirin. Strategi persaudaraan Islam ini bukan berbentuk konseptual tetapi strategi yang praktikal untuk menyelesaikan ketiga-tiga masalah  ini sekali gus. Benarlah firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan orang-orang (Muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah al-Hasyr ayat 9).

Sehubungan itu, kita tidak boleh menafikan bahawa baginda Rasulullah adalah tokoh dan pakar bidang ekonomi yang tiada tolok bandingnya.

Tidak hairan jika Michael H. Hart – seorang sarjana astrofizik (astrophysicist) Amerika Syarikat telah meletakkan Nabi Muhammad S.A.W. di tangga pertama sebagai seorang yang paling berpengaruh sepanjang zaman di dalam bukunya –  The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Justeru, sebagai seorang Islam kita tidak cukup dengan hanya memperakui ketokohan Rasulullah S.A.W. tetapi perlu mengamalkan contoh-contoh praktikal Baginda dalam kehidupan duniawi ini. Ini sejajar dengan gelaran yang disebut dalam al-Quran kepada Baginda sebagai Uswatun Hasanah iaitu contoh terbaik sepanjang zaman.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial