RC Tidak Jejaskan Pelancong Singapura

Kerajaan Johor hendak menarik kedatangan pelancong berulang (repeat tourist) ke negeri ini dengan mengambil pendekatan 'Muafakat Johor' dalam mewujudkan kestabilan masyarakat supaya pelancong kembali ke negeri ini disebabkan rasa selamat serta tenang.
Tee Siew Kiong

PONTIAN 1 Nov – Sektor pelancongan di ne­ge­ri ini diyakini tidak terjejas dengan pelaksanaan caj jalan raya (RC) bagi kenderaan dari Singapura yang memasuki negara mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pelaksana­an RC tidak memberikan impak besar kerana kebanyakan pelancong datang ke negeri ini menggunakan bas persiaran dan bagi yang menggunakan kenderaan persendirian, kesannya hanya dijangka untuk masa pendek.

Beliau berkata, statistik me­nun­jukkan jumlah pelancong Singapura ke negeri ini sentiasa meningkat setiap tahun dengan tahun lalu mencatatkan kira-kira 16 juta pelancong mengunjungi negeri ini melalui Tambak Johor dan Linkedua.

“Kita menjangkakan pelak­sa­na­­an RC tidak akan menyebabkan pelancong Singapura menjauhi Johor Bahru mahupun bandar-bandar lain di negara ini untuk bercuti atau beli-belah.

“Mereka (Singapura) telah me­laksanakan RC kepada kende­raan kita yang memasuki negara berkenaan lebih tinggi disebabkan perbezaan mata wang sedangkan kita hanya mengenakan RM20,” katanya diminta mengulas pelaksanaan RC mulai esok di Tambak Johor dan Linkedua.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang ditemui selepas menutup Karnival Pontian 2016 di Pusat Perdagangan Pontian di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, On Jabbar; Setia­usaha Majlis Daerah Pontian, Nor Faezah Md. Isa dan Ketua Whips Majlis Daerah Pontian, Norzita A. Kahar.

Menurutnya, pelancong Singapura telah menikmati banyak faedah dan manfaat daripada pelbagai program serta aktiviti pelancongan dianjurkan di negara ini.

“Setakat ini difahamkan lebih 100,000 pemilik kenderaan te­lah mendaftar menerusi sistem permit masuk kenderaan (VEP) yang menunjukkan mereka tidak menolak peraturan RC kelak,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Siew Kiong menyarankan setiap Jawatankuasa Pelancongan Daerah (JPD) merangka strategi bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah masing-masing, termasuk menganjurkan karnival yang diyakini mampu melonjakkan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial