REZEKI PEMBUAT ROKOK PAIP

Untitled

LABIS – Siapa sangka minat memerhatikan ketekunan tukang membuat rokok paip menjadi titik mula bagi seorang lelaki di Felda Tenang, di sini untuk menceburkan diri dalam bidang yang sama.

Rosiskandar Rahman, 36, atau mesra dipanggil Is mengakui dia mengambil masa lebih dua tahun memerhati dan mempelajari teknik membentuk kayu untuk dijadikan paip daripada seorang warga emas, Ali Jamuk, 97, sebelum menghasilkan rekaannya sendiri.

“Sebenarnya membuat rokok paip tidak sesukar yang disangka, hanya memerlukan kesabaran serta ketekunan selain daya kreatif yang tinggi bagi memastikan produk yang dihasilkan cantik dan bermutu tinggi,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, antara aspek penting yang perlu diberi perhatian semasa proses membuat rokok paip adalah pemilihan kayu sebagai bahan utama daripada jenis kayu keras selain mempunyai corak atau urat yang menarik agar kelihatan lebih cantik.

Setelah berkecimpung beberapa tahun, Is kini mampu menghasilkan kira-kira 15 batang paip sebulan dalam pelbagai bentuk mengikut permintaan pelangan yang dijual dengan harga antara RM80 hingga RM150 bergantung jenis kayu dan bentuk.

“Kebanyakan paip yang saya hasilkan menggunakan kayu arang sebagai ‘dapur’ dan tanduk pula digunakan untuk membuat bahagian penyedut atau tangkai kerana kedua-dua bahan tersebut keras serta tahan lasak selain mempunyai corak yang menarik,” katanya.
Seorang lagi pembuat paip, Zulkifli Ibrahim, 50, di Kampung Sawah Baru, dekat sini pula mula membuat rokok paip sejak pertengahan tahun 80-an dan mampu menghasilkan kira-kira 20 batang setiap bulan.

Menurutnya, proses membuat paip bermula dengan pemilihan kayu yang sesuai sebelum kerja membentuk menggunakan parang serta gergaji yang perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kayu pecah.

Katanya, selepas mendapat bentuk kasar, pengerudi digunakan untuk membuat lubang kecil yang berfungsi sebagai saluran asap sebelum sebuah lubang lebih besar yang dipanggil 'dapur' untuk mengisi tembakau dibuat menggunakan pisau khas.

Selepas semua proses membentuk bahagian kepala paip selesai baharulah proses membuat tangkai atau penyedut yang diperbuat daripada tanduk kerbau boleh dilakukan dengan cara memotong tanduk selebar 1.5 sentimeter lebar dan enam sentimeter panjang.

“Kemudian, tanduk tersebut perlu diluruskan dengan cara menyapu minyak masak dan memanaskannya sebelum diapit dan dibiarkan sejuk. Selepas itu barulah boleh dibuat lubang kecil dan dibengkokkan dengan cara sama seperti proses meluruskannya sebelum ini.

“Proses seterusnya adalah membuat tanggam untuk mencantumkan bahagian 'kepala' dan penyedut sebelum kerja-kerja mengosok, mengukir dan mengilat dilakukan sebagai proses terakhir sebelum boleh dijual,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial