RISDA, LPNM Perkenal Nanas MD2 Untuk Tanaman Integrasi

JOHOR BAHRU 18 Jan. – Projek Integrasi Tanaman Nanas jenis MD2 merupakan inisiatif baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) bermula tahun ini untuk membantu peneroka memperoleh pendapatan tambahan.

Nanas itu akan ditanam secara integrasi dengan pokok getah dan kelapa sawit dengan keutamaan diberikan kepada pekebun kecil terutama mereka yang memulakan penanaman baharu.

Sementara menunggu pokok getah baharu matang, pekebun kecil boleh mendapat hasil daripada tanaman nanas tersebut yang akan mengeluarkan hasil dalam masa 15 bulan.

Projek tersebut merupakan kerjasama antara RISDA dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak terbabit dimenterai di Pejabat RISDA Nege­ri Johor di Bandar Baru Uda, di sini kelmarin, dengan disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pihak RISDA diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd. Najib A. Samad manakala LPNM diwakili Ke- tua Pengarahnya, Sahdan Salim.

Menurut Ismail Sabri, nanas yang berasal dari Hawai itu mempunyai banyak keistimewaan antaranya tahan lasak dan tidak mudah rosak, selain rasanya lebih manis daripada nanas biasa.

“Nanas MD2 juga mengandungi empat kali vitamin C berbanding nanas biasa. Harga pasaran mencecah RM3.50 sekilogram dan pekebun kecil boleh memperoleh pendapatan purata sebanyak RM6,000 sehektar untuk sekali tuaian,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu.

Beliau berkata, LPNM akan membekalkan 10,000 sulur nanas untuk kadar keluasan minimum 1 hingga 6 hektar dengan nilai bantuan setiap peserta sebanyak RM1.50 bagi setiap anak pokok .

“RISDA pula berperanan menyediakan peserta di bawah skop Tanam Semula Getah atau Sawit Integrasi dengan kadar bantuan sebanyak RM9,320 setiap hektar bagi tanam semula dan RM7,000 sehektar bagi tanaman kelapasawit atau bantuan lain yang berkaitan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pekebun kecil yang dipilih menyertai projek tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Katanya, sebagai permulaan seramai 50 peneroka dari Johor akan menyertai program itu melibatkan kawasan kira-kira 80 hektar sebelum diteruskan ke negeri lain.

Dalam pada itu, projek integrasi nanas dengan tanaman sawit dan getah sudah dimulakan di negeri ini pada April 2016 menerusi RISDA Johor dan LPNM, melibatkan 25 peserta.

Menurutnya, keseluruhan kawasan tanaman integrasi adalah seluas 39 hektar membabitkan 12 peserta dari Pontian; tujuh (Mer­sing); empat (Batu Pahat) dan dua (Muar).

Jelasnya, RISDA bertanggungjawab menguruskan peserta, manakala LPNM menguruskan dana dan input dengan kadar bantuan RM1,500 untuk satu ekar (0.4 hektar).

“Peserta dibekalkan semua jenis benih antaranya Josapine, Moris dan Gandul tetapi selepas MoU tersebut ditandatangani, kita akan fokus kepada jenis MD2,” katanya.

Tambahnya, sejak 2005 hingga 2016 seramai 162 pekebun kecil dari seluruh negara menerima bantuan AET dengan Johor menyaksikan penerima paling ramai iaitu 40 orang diikuti Kelantan (39); Pahang (31); Kedah dan Sabah masing-masing (11); Sarawak (10); Terengganu (lapan) serta Perak dan Negeri Sembilan ma­sing-masing (enam).

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial