RM1.4 Juta Diperuntukkan Menjayakan Agro Pelancongan

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri, Ismail Mohamed.

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri sudah memperkenalkan program Agro Pelancongan dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup usahawan tani melalui hasil aktiviti agro pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri, Ismail Mohamed berkata, sebanyak RM1.4 juta telah dibelanjakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri untuk membangunkan agro pelancongan berkenaan.

“Ia termasuk di Taman Pertanian Johor, Kongkong di Masai, Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pengkalan Batu di Mersing, Nelayan Beach Resort di Pengerang, Skim Sawah di Tangkak, Medan Selera Ikan Bakar, Sungai Tekam di Segamat dan D’Manis Agro, Kota Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, untuk tahun ini program itu akan diperluaskan di beberapa tempat membabitkan peruntukan RM1.867 juta.

“Dengan peruntukan sebanyak RM1.867 juta kita akan melaksanakan beberapa lagi projek agro pelancongan seperti menaiktaraf Dataran Pulau Penarik di Serom, membina Bengkel Pemprosesan Produk IAT, Felda Semenchu di Kota Tinggi, membina Bengkel Pemprosesan Kraftangan di Felda Tenang, Labis dan menaiktaraf Pusat Pelancongan Kelapa di Bandar Penawar.

“Selain itu, beberapa projek lain akan turut dilaksanakan seperti perusahaan landak di Labis, projek agro pelancongan di Sungai Melayu, Medan Selera Ikan Bakar di Kg Pasir Gudang Baru, projek agro pelancongan di Bukit Kepong , Medan Selera Ikan Bakar di Kg. Paya Pulai di Segamat dan agro pelancongan nelayan di Jeti Nelayan Bandar Muar,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial