RM10 Juta Peruntukan Bantu Pelajar Johor Di Jordan

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM10 juta bagi membeli bangunan untuk kegunaan pelajar Johor di Amman, Jordan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MAINJ kini dalam proses mencari bangunan yang sesuai negara berkenaan. "Kita telah melihat keadaan pelajar di Jordan dan kita bercadang untuk membeli bangunan untuk kita menyediakan tempat kepada pelajar pelajar Johor di Amman.

"Untuk itu, MAINJ memperuntukkan RM10 juta bagi membeli bangunan dan sekarang MAINJ dalam proses mencari bangunan yang sesuai," katanya selepas mengunjungi Bazar Ramadan Taman Rinting, di sini semalam.

Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Johor di Mesir dan Jordan, dalam tempoh menunaikan ibadah Umrah, pada minggu lalu.

Mohamed Khaled berkata, ketika bertemu pelajar-pelajar Johor di Mesir dan Jordan, dia sempat bertanya khabar dan memberi maklumat mengenai perkembangan semasa negeri ini.

Katanya, Johor mempunyai lebih 200 pelajar di Mesir dan lebih 100 pelajar di Jordan. "Mereka dalam keadaan yang baik dan saya telah memberi mereka maklumat tentang keadaan kemajuan negeri Johor.

"Saya juga nyatakan harapan negeri terhadap mereka supaya berjaya dalam menuntut ilmu dan pengajian agar boleh balik dan berkhidmat dalam negeri Johor, " katanya. Selain itu, beliau juga ada meninjau asrama yang terdapat di Kaherah, Mesir yang dimiliki oleh kerajaan Negeri Johor.

"Secara keseluruhannya pelajar kita memang dalam keadaan yang baik dan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan negeri," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial