RM150 Juta Untuk Parlimen Gelang Patah

GELANG PATAH, 25 Feb. – Kerajaan Negeri hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembangunan dan penyelesaian isu-isu setempat di Parlimen Gelang Patah.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu diluluskan selepas melihat kepentingan dan keperluannya dalam usaha memberi kesejahteraan kepada rakyat di kawasan tersebut, selain tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri.

Melihat kepada kepentingan pendidikan agama, kerajaan negeri bersetuju membina dua buah sekolah agama dalam kawasan Parlimen Gelang Patah iaitu di Taman Nusantara dan Taman Pulai Emas.

Pembangunan menerusi fasa kelima itu akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM8.3 juta.

Kerajaan negeri juga melalui Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM207,000 bagi membaik pulih beberapa buah sekolah agama.

“Ini termasuk menaik taraf tempat letak kereta di Sekolah Agama Taman Mutiara Rini, membaik pulih Sekolah Agama Tanjung Kupang, Sekolah Agama Kampung Morni Pok, Sekolah Agama Taman Universiti dan Sekolah Agama Desa Paya Mengkuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang diadakan sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Gelang Patah, hari ini.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM6 juta daripada kerajaan negeri dan pusat juga diluluskan bagi pembinaan Masjid Taman Pulai Indah dan pengubahsuaian Masjid Gelang Patah iaitu sebanyak RM300,000.

“Peruntukan bagi pembinaan surau di Setia Eco Garden juga diluluskan iaitu melibatkan peruntukan masing-masing sebanyak RM150,000 daripada kerajaan negeri dan pemaju.

“Bagi menaik taraf Masjid Tanjung Kupang, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000.

“Kerajaan negeri menerusi JAIJ juga meluluskan permohonan membaik pulih dan menaik taraf beberapa buah surau iaitu di Kg. Tanjung Adang, Surau Nur Hidayah, Surau Mutiara Aman dan Surau Kg. Tiram Duku,” katanya.

Mengenai kemudahan jalan pula, antaranya kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi tujuan pelebaran jalan masuk ke Kg. Sg. Melayu dalam usaha menggalakkan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Selain itu, bagi permohonan menaik taraf dan pelebaran Jalan Gelang Patah – Ulu Choh, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi tujuan itu.

“Kerajaan negeri juga dalam proses menyiapkan reka bentuk bagi projek menaik taraf Jalan Ulu Choh dari Persimpangan Pontian – Pekan Nanas sehingga Persimpangan Jalan Ulu Choh – Tanjung Kupang.

“Ia dijangka dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM24 juta bagi menjayakan projek tersebut,” katanya.

Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek menaik taraf jambatan besi di Jalan Gelang Patah – Pendas yang bakal diganti dengan sebuah jambatan konkrik dengan kos sebanyak RM12.4 juta.

“Malah, kita juga akan mempertimbangkan permohonan memperbaiki jalan daripada beberapa kampung yang tidak terletak dalam kawasan MPJBT antaranya Kg. Wawasan dan Kg. Melayu Dapur Arang. Untuk itu, kerajaan negeri bersetuju meluluskan permohonan pembaikan jalan tersebut sebanyak RM100,000,” tambah Mohamed Khaled.

Mengenai projek penyelenggaraan jalan kampung, yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi di kawasan Gelang Patah, sebanyak RM175,000 disediakan bagi menyelenggara sepanjang 2.96 kilometer jalan kampung.

“Untuk projek menaik taraf dan pelebaran jalan kampung pula, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.207 juta.

“Manakala bagi projek penyelenggaraan jalan kampung oleh pejabat daerah, kerajaan negeri menyediakan sebanyak RM710,000 bagi tujuan itu.

“Peruntukan sebanyak RM8.7 juta juga diluluskan bagi penyelenggaraan jalan negeri oleh syarikat konsesi seperti Jalan Gelang Patah – Pendas, Jalan Pontian Lama – Loji PUB, Jalan Ulu Choh – Gelang Patah,” tambahnya.

Dalam ucapan sama, Mohamed Khaled turut mengumumkan beberapa peruntukan lain termasuk pembinaan pusat komuniti, balairaya dan kemudahan sukan.

Ia termasuk pembinaan Pusat Komuniti di Kg. Sg. Melayu dengan peruntukan sebanyak RM100,000; Pusat Komuniti Desa Permai (RM200,000) dan Pusat Komuniti Kampung Tanjung Adam (RM100,000).

Sementara itu, bagi membaik pulih Dewan Raya Kg. Pok, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000; selain menaik taraf Balairaya MIC di Taman Damai Jaya (RM25,000) dan di Jalan Hang Jebat, Skudai (RM30,000).

“Bagi pembinaan gelanggang futsal di Kg. Sg. Melayu, kita bersetuju memperuntukkan sebanyak RM80,000; gelanggan futsal di Desa Paya Mengkuang (RM200,000); naik taraf padang bola sepak di Kg, Ladang (RM50,000) dan bagi membina bumbung gelanggan bola keranjang di Taman Daya (RM100,000),” katanya.

Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf infrastruktur dan keperluan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thorburn, Mutiara Rini; SJKC Ming Terk, Gelang Patah dan SJKC Thai Fong, Taman Impian Emas, Skudai.

Peruntukan sebanyak RM100,000 juga diluluskan bagi membina dewan di Kuil Arulmigu Sri Mahamariamman, Taman Impian Emas dan RM50,000 untuk pembinaan dewan di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai.

Peruntukan lain yang turut diluluskan ialah RM300,000 untuk Pasar Peladang, Skudai dan RM700,000 untuk pembinaan baru jeti nelayan di Kg. Sg. Melayu.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial