RM30.6 Juta Bina Pusat Teknologi Pemacu Di Ulu Tiram

image (1)

 

JOHOR BAHRU 2 Ogos – SEW-Eurodrive Group, pembuat gear motor berpangkalan di Jerman dan sudah bertapak di Malaysia sejak 1986, terus memilih negara ini untuk melebarkan operasi­nya dengan pelaburan sebanyak RM30.6 juta.

Pelaburan tambahan menerusi anak syarikat, SEW-Eurodrive Sdn. Bhd. itu bagi membangunkan Pusat Teknologi Pemacu baharunya di Taman Perindustrian Frontier-Frontier 2 di Ulu Tiram di sini, kilangnya yang terbesar di Malaysia.

Perasmian pusat tersebut dan Frontier 2 yang dibangunkan WB Land di atas tanas seluas 25 hektar itu disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Yang turut hadir, Pengurus Wilayah Asia Tenggara dan Asia Timur SEW-Eurodrive Group, Andreas Appel; Pengarah Urusan SEW Malaysia, Soh Lep Ming; Pengarah Urusan WB Land, Woon Yet Leng dan Pengarah WB Land, Wong Yen Yap.

Dalam pada itu, Azman berkata, pelaburan tambahan daripada syarikat teknologi pemacu dan pemacu berasaskan automasi dari Jerman itu mencerminkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Malah katanya, beliau yakin pembukaan kilang terbesar SEW-Eurodrive Group itu juga mampu menarik lebih banyak syarikat multinasional yang mengguna pakai teknologi syarikat ber­kenaan untuk membuka kilang di negara ini.

“Jerman merupakan antara pelabur terbesar di negara ini dan sehingga hari ini bukan sahaja terus membuat pelaburan di Malaysia tetapi lebih penting mereka melabur dalam bidang teknologi terkini dan projek berkualiti.

“Keputusan syarikat dari Jerman terus memilih untuk me­labur di Malaysia terutama dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ini satu petanda pen­ting bahawa negara kita masih menjadi pilihan para pelabur asing,” katanya.

Pusat teknologi baharu SEW-Eurodrive yang dibangunkan di kawasan seluas 0.96 hektar di Frontier 2 itu akan menempatkan tempat pemasangan, jualan, perkhidmatan dan latihan bakal memulakan operasinya apabila siap pada 2018.

Sementara itu, Azman berkata, industri jentera dan peralatan (M&E) negara menunjukkan pe­ningkatan yang ketara sejak tujuh tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 28.5 peratus.

“Kerajaan mengenal pasti industri M&E sebagai satu daripada bidang pertumbuhan penting terutama dalam mentranformasi Malaysia kepada negara teknologi tinggi sekali gus menjadi hab jualan dan pemasaran M&E,” katanya. – Utusan

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial