RM36 Juta Pastikan Bekalan Air Di Batu Pahat Cukup Hingga 2050

BATU PAHAT: Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM36 juta bagi tujuan menaik taraf empangan dan kualiti air di daerah itu.

Daripada jumlah itu, RM14 juta dibelanjakan untuk menaik taraf Empangan Bekok, manakala RM22 juta lagi digunakan untuk membaik pulih persekitaran empang¬an itu agar keadaannya terpelihara.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata perancangan yang dibuat dengan bantuan Kerajaan Persekutuan itu adalah bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk sehingga tahun 2050.

“Dengan cara ini, ia secara tidak langsung dapat memastikan negeri ini tidak mengalami krisis atau masalah berkaitan bekalan air.

"Langkah tersebut adalah perancangan jangka panjang supaya kita tidak mengalami isu atau masalah air seperti yang berlaku di Selangor ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pemberian Rebat Air Peringkat Negeri dan pe¬nyampaian Notis 5A di Dewan Muafakat Semarang, di sini semalam.

Dalam pada itu, sebanyak RM2.4 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn. Bhd. untuk menjalankan program pemberian rebat air yang melibatkan kira-kira 5,000 pengguna yang berkelayakan di negeri ini.

Jelas beliau, rebat air tahun ini telah diselaraskan pemberiannya kepada 25 meter padu sebulan berbanding 10 meter padu atau 20 meter padu mengikut kelayakan sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2010.

"Selepas perbincangan dibuat, kita perlu mengkaji semula jumlah pene¬rima yang ketika itu hanya dinikmati kira-kira 800 pengguna tetapi mulai tahun ini kita tingkatkan jumlahnya kepada 5,000 orang yang berdaftar dengan sistem  e-Kasih dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mengulas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata negara perlu  melihat kepada skop yang lebih luas termasuk sama ada negara serantau yang terlibat dengan TPPA bersetuju untuk menandatangani perjanjian berkenaan atau sebaliknya.

"Sekiranya negara serantau menandatangani TPPA tetapi kita tidak, ia juga bakal memberi kesan kepada negara kerana Malaysia adalah sebuah negara dagang dan apa yang penting, jika TPPA bersetuju dengan syarat yang kita beri selain tidak menjejaskan hak rakyat ia wajar diteruskan.

"Memang ada pihak yang menentang TPPA dan mereka mempunyai alasan masing-masing tetapi kita perlu lihat kepada skop lebih luas mengenai survival negara kita," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial