RM56.2 Juta Bagi Pendidikan Agama Johor

ISKANDAR PUTERI, 12 April- Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM56.2 juta daripada bajet agihan zakat 2017 bagi pembangunan pendidikan Islam di Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumbangan kewangan zakat kepada pembangunan pendidikan membabitkan bantuan kepada individu termasuk pakaian dan yuran sekolah, selain pendaftaran di universiti awam (UA) dan Dermasiswa Luar Negara.

Katanya, bantuan itu turut membabitkan program dan pengurusan pendidikan (fisabilillah) termasuk pembiayaan Sekolah Menengah Agama (SMKA), Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), gaji guru sekolah agama rakyat, selain cetakan kitab dan sumbangan kepada sekolah tahfiz swasta.

“Sumbangan bagi pembangunan prasarana pendidikan (fisabilillah) yang sentiasa menjadi keutamaan seperti dana pembinaan sekolah agama Johor, membaik pulih sekolah agama rakyat, pembelian perabot dan penyelenggaraan Asrama Johor di Mesir,selain sumbangan khas pendidikan masyarakat seperti bayaran elaun guru kelas al-Quran serta skim galakan hafaz al-Quran.

“Peruntukan ini bagi memastikan tidak hanya individu yang fakir miskin sahaja dapat menikmati bantuan wang zakat, malah ia dapat dirasai oleh keseluruhan masyarakat menerusi pelbagai program yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz pada Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan pelajar Johor yang melanjutkan pelajaran ke Mesir bagi sesi 2017, di Dewan Banquet Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 101 pelajar melanjutkan pelajaran ke Asia Barat dalam pelbagai jurusan pengajian Islam termasuk Syariah, Usuluddin dan Ulum Syariah membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM328,250.

Mohamed Khaled berkata, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan agama khususnya pada zaman yang penuh mencabar ini menyebabkan ramai ibu bapa berlumba untuk menghantar anak mereka ke sekolah aliran agama.- BERITA HARIAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial