RM68.5 Juta Hasil Jualan Produk Kraf Johor

kraf

JOHOR BAHRU 13 Okt. – Seramai 114 usahawan produk kraf dari negeri ini yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia memperoleh hasil jualan RM68.5 juta sejak 2015 hingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendapatan itu menyumbang 20.67 peratus daripada jualan produk kraf seluruh negara yang berjumlah RM331.4 juta.

“Walaupun jumlah 114 usahawan kraf dari Johor agak sedikit berbanding keseluruhan 5,130 usa­hawan berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia, namun sumba­ngan jualannya agak besar.

“Saya menjangkakan jumlah jualan produk kraf akan terus meningkat pada masa akan datang dengan adanya Kompleks Kraf Johor,” katanya berucap merasmikan kompleks itu di Jalan Cenderasari, Larkin, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Kebudayaan dan Warisan Kerajaan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar.

Kompleks Kraf Johor yang di­bangunkan dengan kos mence­cah RM20 juta itu bermula sebagai bangunan Kraftangan Malaysia Johor pada 1986 sebelum ditransformasikan pada 26 Mei lalu.

Terdapat pelbagai kemudahan selain aktiviti dapat dilakukan antaranya galeri kraf, demonstrasi kraf, jualan kraf, interaktif kraf dan bistro dalam kompleks berkenaan.

Mas Ermieyati berkata, kompleks itu yang berperanan sebagai pusat sehenti kraf diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan di negeri ini sebagai sebuah platform untuk memasarkan produk mereka.

“Penubuhan Kompleks Kraf Johor merupakan satu inisiatif yang dicadangkan bagi projek pengkomersilan kraf dan dijangka akan disenaraikan sebagai projek penting di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Maka dengan adanya kompleks ini kebolehcapaian pasaran bagi produk kraf dalam kala­ngan masyarakat dapat dipertingkat­kan,” katanya sambil memberi­tahu kompleks itu menjadi kompleks kraf ketiga di negara ini selepas di Kuala Lumpur dan Langkawi. – UTUSAN ONLINE

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial