RM7.73 Juta Sumbangan Aidilfitri MAIJ Untuk 889,000 Penerima

JOHOR BAHRU, 17 Jun – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) memberi sumbangan Aidilfitri kepada seramai 889,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM7.73 juta pada tahun ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata majlis itu telah memutuskan untuk memberi duit raya kepada golongan fakir sebanyak RM300 bagi ketua keluarga dan setiap anak mendapat RM50 pada tahun ini.

Katanya, golongan miskin pula mendapat RM200 bagi ketua keluarga dan setiap anak turut mendapat RM50.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban untuk membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi,” katanya berucap pada Majlis Semarak Muafakat Raya Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pandan di Surau Al-Munawwarah Flat Laman Tasik Pandan di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Rahim Nin.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada MAIJ kepada seramai 74 asnaf dengan peruntukan sebanyak RM16,500.

Selain itu, Mohamed Khaled turut meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Surau Al-Munawwarah untuk memasang penghawa dingin bagi keselesaan jemaah terbabit.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan mahu sifat membantu dan memberi dalam kalangan orang ramai menjadi amalan masyarakat Johor.

“Matlamat Kerajaan Negeri ialah menjadi negeri paling maju dan bukan sekadar maju dari segi pembangunan fizikal,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial