RM7 Juta Naik 
Taraf Jalan Kampung

Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU, 17 Julai – Kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta untuk membaiki dan menaik taraf jalan-jalan kampung di seluruh Johor pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, proses tersebut melibatkan 50 projek dimulakan dalam bulan ini.

“Projek-projek ini akan dilaksa­nakan kontraktor-kontraktor yang menjadi ahli dan berdaftar di bawah Koperasi Kontraktor Me­layu Johor Berhad (KKMJB),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Perasmian KKMJB Cabutan Undi Projek Jalan Kampung PJK 5 (Fasa Dua) di Taman Universiti, dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ), Mahmud Amir.

Hasni berkata, sebelum ini, projek kerajaan seperti itu lebih tertumpu kepada penyertaan syarikat konsesi yang akan menjalankan kerja secara sebut harga, tender terbuka atau menerusi persatuan kontraktor.

Namun pada kali ini katanya, kerajaan negeri bekerjasama secara terus dengan KKMJB menerusi agihan kepada KKMJB bertujuan mengembangkan perniagaan kontraktor terlibat.

Kaedah tersebut juga katanya, menggalakkan lebih banyak kerjasama melibatkan lebih 1,500 kontraktor KKMJB de­ngan kerajaan pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, cabutan undi itu dilihat dapat memberi peluang yang lebih selain pengagihan kerja secara telus kepada kontraktor berdaftar di seluruh daerah.

“Selain daripada kerja yang diagihkan, menerusi KKMJB, kerajaan negeri sudah mengambil langkah menerusi Pusat Pemba­ngunan Kontraktor Johor (JCCD) yang mana kita (kerajaan negeri) sudah memutuskan sebanyak 0.5 peratus akan diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur.

“Jadi kalau kerajaan negeri membelanjakan RM200 juta untuk kerja infrastruktur, 0.5 peratus atau RM1 juta akan diagihkan kepada JCCD. Ini memberi pendedahan untuk membantu kontraktor menerusi hebahan terhadap projek yang ditawarkan oleh kerajaan selain mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk dibangunkan,” katanya. – Utusan Online

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial