RM80 Juta Bangunkan KPJ Kluang, Siap 2018

kpjh

KLUANG 20 Dis. – Penyedia perkhidmatan kesihatan, KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) menjalin kerjasama dengan Kluang Specialist Hospital Sdn. Bhd. bagi membangunkan sebuah hospital pakar swasta di sini dengan nilai pembangunan kasar RM80 juta.

Pembinaan Hospital Pakar KPJ Kluang (KPJ Kluang) di Taman Saujana itu membabitkan pembinaan lapan tingkat hospital de­ngan dilengkapi 90 katil dan pelbagai kemudahan lain, dijangka siap pada 2018.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, hospital tersebut merupakan antara tujuh hospital syarikat itu yang sedang rancak dibina di seluruh negara dalam usaha memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.

“Dengan pembinaan hospital-hospital itu yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun itu, kita menjangkakan dapat menyediakan lebih 1,000 katil lagi dan daripada tujuh itu, tiga sedang dirancak dibina di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah KPJ Kluang yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kluang Specialist Hospital, Datuk Tan Boon Hock dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare, Norita Ahmad.

KPJ Healthcare merupakan penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar di Malaysia buat masa ini mempunyai 26 buah hospital di seluruh negara selain empat hospital beroperasi di luar negara iaitu dua di Indonesia dan sebuah di Bangladesh serta Thailand.

Syarikat terbabit juga mempunyai tiga pusat penjagaan orang tua masing-masing di Kuala Lumpur; Sibu, Sarawak dan Brisbane, Australia.

Amiruddin berkata, apabila siap kelak, hospital berkenaan akan mempunyai lebih 350 kakitangan serta 20 pakar perubatan dalam pelbagai bidang antaranya pediatrik, ortopedik, radiologi, kardiologi dan ginekologi.

Tambahnya, KPJ Kluang itu juga dijangka bukan sahaja dapat menawarkan perkhidmatan perubatan kepada penduduk Kluang tetapi juga kawasan berdekatan seperti Mersing, Kota Tinggi, Bandar Tenggara dan La­yang-Layang. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial