RUMAH BERMASALAH AKAN DIBINA SEMULA – KHALED NORDIN

image

KOTA TINGGI – Sebanyak 86 buah rumah yang mengalami masalah kerosakan dan kecacatan serius di Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat sini akan dibina semula mulai bulan ini. 
 
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat yang bertanggungjawab sudah diberikan peringatan terakhir bagi mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan. 
 
'Sekiranya dalam tempoh tertentu syarikat itu tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, maka, kerajaan negeri berhak melantik kontraktor lain," katanya kepada pemberita pada sambutan Merdeka Raya Dun Tanjung Surat, dekat Pengerang, hari ini. 
 
Taman Bayu Damai merupakan penempatan baharu bagi penduduk yang dipindahkan dari beberapa kampung bagi membolehkan pelaksanaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang. 
 
Mohamed Khaled berkata, kerja meroboh dan membina semula rumah sepatutnya sudah bermula bulan ini dan pihak syarikat itu juga perlu memaklumkan tentang kemajuan kerja yang dilakukan setiap minggu secara berkala. 
 
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan pusat juga diharap dapat memberi kerjasama dengan memberi peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada penduduk tempatan menerusi projek pembangunan di kawasan berkenaan. 
 
Bagaimanapun, katanya, penduduk sendiri perlu mengubah sikap dan tidak menganggap keistimewaan sebagai orang Melayu dan Islam dapat mengubah nasib mereka tanpa berusaha. 
 
"Penduduk mesti bersedia dilatih dan bersedia untuk menuntut ilmu supaya dapat merebut peluang tersebut. Kerajaan sudah menyediakan peluang, namun, jangan anggap manfaat itu akan diperolehi tanpa berbuat apa-apa," katanya lagi. 
 
Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri turut berhasrat memperkasakan kemahiran dalam kalangan penduduk, menggalakkan mereka dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan infrastruktur di kawasan berkenaan. 
 
Katanya usaha itu bagi mentransformasikan Pengerang sebagai satu pemangkin transformasi luar bandar. 
 
"Pengerang boleh dibangunkan dan boleh juga ditransformasikan dengan tiga strategi tersebut tetapi dalam masa sama memerlukan kerjasama kerajaan pusat.
 
Kita akan huraikan perkara ini dalam perbentangan bajet sebelum akhir tahun ini," katanya. – Bernama 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial