Rumah Ihsan Johor Bantu Golongan Sasar Miliki Rumah

img_0256

 

MASAI, 22 Okt – Pembinaan Rumah Ihsan Johor merupakan satu inisiatif terbaik dalam membantu golongan sasar memiliki rumah sendiri yang dibina secara percuma berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Inisiatif yang dikendalikan oleh Pertubuhan Ihsan Johor, sebuah organisasi NGO merupakan satu usaha dalam membudayakan aktiviti kemanusiaan, semangat kesukarelawanan dan kebajikan.

Ia juga merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi membantu masyarakat di Negeri Johor khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hadir menyaksikan kerja-kerja pembinaan Rumah Ihsan Johor di Kg Plentong Baru, Masai, pagi ini.

Pembinaan rumah Ihsan Johor ini hanya memerlukan masa selama 3 hari sahaja untuk siap dibina dengan menggunakan tenaga sekurang-kurangnya 35 orang sukarelawan dari pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang.

Rumah Ihsan Johor ini dianggarkan tidak melebihi RM 50,000.00 dan dilengkapi 3 bilik tidur, ruang tamu, dapur, tandas dan juga dipenuhi dengan kemudahan kipas, lampu serta syiling.

Sementara itu, bagi penerima Rumah Ihsan Johor yang ketiga (#IJR3), Azlina Ahmad, 34, berkata beliau berasa sungguh bersyukur dengan bantuan rumah baru yang diterima.

“Keadaan rumah lama yang terlalu uzur dan tiada kemudahan elektrik dan air sangat menyukarkan kehidupan saya dan enam orang anak yang masih kecil ditambah dengan gaji hanya RM300 sebulan.

“Alhamdulillah, kelulusan permohonan yang diterima tidak sampai sebulan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan,” katanya.

Rumah Ihsan Johor yang pertama (#IJR1) telah dibina di Kg Shaari, Simpang Renggam, Kluang. Penerima pertama itu ialah seorang warga emas, Hjh Mesmah Abd Ghani, berusia 92 tahun yang tinggal bersama cucu dan cicitnya.

Manakala rumah Ihsan Johor kedua (#IJR2), telah dibina di Permas Kelapa, Kukup, Pontian. Penerima kedua itu pula ialah Noriah Ali, seorang penoreh getah yang tinggal bersama 10 penghuni yang lain (anak dan cucunya).

Kerajaan Negeri Johor mensasarkan untuk membina 15 buah rumah sehingga hujung tahun 2016 ini yang mensasarkan pembinaan di daerah Muar, Batu Pahat, Tangkak, Mersing, Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial