RUMAH KONGSI TERBAKAR

image (3)

KOTA TINGGI – Sederet enam pintu rumah kongsi yang menjadi tempat tinggal pekerja warga asing di kilang papan dekat Batu 6, Jalan Mawai di sini hangus selepas terlibat kebakaran pagi kelmarin.

Seramai enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.49 pagi.

Manakala seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar dengan sebuah jentera turut ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata, ketika kejadian berlaku tiada penghuni yang berada di dalam rumah kotai terbabit.

Menurutnya, bagaimanapun pekerja kilang itu ada balik berehat di rumah tersebut pada jam 9.30 pagi untuk minum pagi sebelum menyambung kerja pada jam 10 pagi.

“Ketika kejadian berlaku tidak ada penghuni dan ekoran struktur rumah terbabit yang 100 peratus kayu telah menyebabkan kebakaran cepat merebak.

“Terdapat dua lagi blok rumah kotai di kawasan tersebut di mana sebuah blok ada enam pintu manakala sebuah lagi empat pintu.

"Sebuah blok yang terletak bersebelahan blok yang terbakar itu hanya terjejas sedikit dibahagian dindingnya selepas berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat. Manakala sebuah lagi blok tidak terjejas,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial