SAJ CADANG SEDUT AIR SUNGAI TIRAM

JOHOR BAHRU – Syarikat Air Johor Holdings Sendirian Berhad (SAJ) dijangka menyedut air daripada Sungai Tiram ke Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang bagi menyokong meninggikan paras air di empangan berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri mengenai pelan sokongan berkenaan selepas kenaikan paras air di empangan tersebut tidak konsisten.

Menurutnya, sehingga kelmarin statistik menunjukkan kenaikan paras air hanya 0.02 meter di empangan Sungai Layang, berbanding penurunan 0.04 meter di empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi.

“Kita dapati hujan lebat pada 17 September lalu menyebabkan peningkatan paras air di empangan Sungai Layang kepada 19.11 meter, tetapi tidak konsisten kerana paras air cepat naik dan cepat turun.

“Sebagai pelan sokongan kita bakal menyedut air daripada Sungai Tiram ke empangan Sungai Layang bagi mengelak paras air terus kritikal kerana sekiranya paras air berada di paras 16 meter akan menyebabkan pam tidak lagi dapat beroperasi untuk membekal air,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, SAJ juga bercadang untuk menghentikan bekalan air berjadual dalam tempoh tiga hari bermula 23 hingga25 September bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Penduduk di kawasan terjejas bakal menerima air secara normal untuk tempoh tiga hari sempena Hari Raya Haji.

“Kita yakin bekalan air normal yang dibekalkan dalam tempoh tiga hari itu tidak akan menjejaskan paras air di empangan yang sedang kritikal kerana dijangka permintaan jimat selepas ramai penduduk pulang ke kampung pada musim perayaan,” katanya.

Katanya, pihaknya penuh mengharap kepada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai monsun timur laut yang dijangka membawa hujan lebat pada penghujung Oktober depan bagi meningkatkan paras air di kedua-dua empangan terjejas.

“Walaupun itu cuma ramalan, tetapi kita berharap apabila tiba masanya akan berlaku hujan lebat, selain usaha pembenihan awam yang bakal dilakukan kerajaan negeri,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial