SAMPUL SURAT HASIL TANGAN OKU

Untitled

BATU PAHAT – Selama hampir 37 tahun bero­perasi, mungkin ramai yang tidak menyedari bengkel sampul surat yang terletak di Jalan Batu Pahat-Kluang, di sini yang menghasilkan sampul bagi kegunaan rasmi jabatan atau agensi kerajaan sebenarnya dihasilkan oleh orang kurang upaya (OKU).

Hakikatnya, sampul surat berwarna putih atau coklat dalam pelbagai saiz itu menjadi punca pendapatan golongan tersebut dalam meningkatkan taraf hidup mereka secara konsisten.

Bengkel terlindung yang diuruskan Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKS) dan diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi di sebidang tanah seluas dua hektar itu kini menempatkan seramai 50 OKU yang melakukan kerja-kerja melipat dan menampal sampul surat.

Mula beroperasi di sebuah rumah kedai di Kampung Kenangan Datuk Onn pada 1978, Bengkel Sampul Surat Jaya Diri Batu Pahat mengorak langkah apabila berpindah ke lokasi sekarang sejak 1994 selepas mendapat kepercayaan ramai pihak.

Biarpun tidak memiliki kemahiran spesifik seperti bidang kerja lain, golongan OKU yang cacat pendengaran, percakapan dan fizikal serta mental terkawal itu semestinya memerlukan mereka mempelajari dengan cepat bagaimana untuk menyiapkan sekeping sampul surat, malah ada antaranya yang bertindak sebagai pegawai pemasaran.

Menurut Pengurus bengkel, P. Tochenamuriti, pelatih OKU yang berusia antara 18 hingga 60 tahun itu perlu melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum diambil untuk meneruskan kerja menghasilkan sampul surat.

“Kami tidak kisah mereka OKU jenis apa, tetapi yang penting boleh menjaga diri, disiplin dan rajin untuk mempelajari sesuatu yang baharu selain mendapat kelulusan JKM sebelum mengambil mereka bekerja.

“Produk yang dihasilkan kami sebenarnya tidak sesusah mana, tetapi kita harus memahami pekerja yang melakukannya adalah golongan istimewa yang memerlukan kemampuan dan kemahiran masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tochenamuriti berkata, seba­nyak 27 jenis sampul surat yang bermula dengan saiz 4 x 6 inci sehingga paling besar bersaiz 18 x 15 inci bagi sampul surat kegunaan sinaran x-ray dihasilkan golongan itu dengan bantuan beberapa pekerja mahir, terutamanya dalam mengendalikan mesin dan peralatan canggih.

“Di sini kami mulakan dengan proses pe­nandaan bahan mentah, memotong sampul, percetakan dan pembungkusan sebelum proses terakhir penghantaran kepada pejabat kerajaan yang membuat tempahan.

“Bagi sampul surat untuk kegunaan sinaran x-ray, kami menyalurkan hampir 70 peratus produk itu kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh negara selain pelanggan kami juga terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan ba­nyak lagi,” katanya sambil mengakui ramai ibu bapa mahu menghantar anak-anak mereka yang berstatus OKU mengikuti latihan dan bekerja di bengkel itu, namun pihaknya terpaksa menolak berikutan kekangan dari segi penginapan.

Pada masa ini, pihaknya hanya mampu menyediakan kemudahan asrama kepada kira-kira 30 penghuni, manakala selebihnya adalah OKU yang tinggal di sekitar Batu Pahat dan boleh berulang-alik ke bengkel tersebut.

“Kami memang me­rancang untuk memperluaskan bengkel ini sehingga mampu me­nempatkan hampir 100 pelatih pada satu-satu masa kerana masih terdapat tanah kosong yang boleh dibangunkan untuk membina asrama, bengkel dan kemudahan lain.

“Malah, apa yang membuatkan mereka tertarik ke sini adalah kemudahan lain seperti gimnasium yang disediakan selain turut mene­rima upah sehingga RM900 sebulan di samping bayaran bulanan berjumlah RM350 yang diterima daripada JKM,” katanya.

Tochenamuriti berkata, pelu­ang kerja yang ditawarkan kepada golongan tersebut telah mengubah kehidupan mereka sehingga ada yang mampu membantu keluarga masing-masing dengan sumber pendapatan yang diterima.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial