Satukan Kekuatan Zahir, Batin Dalam Pembangunan Negara Dan Rakyat

img_1920

PONTIAN, 12 Dis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengingatkan umat Islam agar terus berusaha membangunkan masyarakat dan negara dengan menyatukan kekuatan zahir dan batin.

Baginda bertitah, ia adalah melalui kekuatan ilmu pengetahuan dan perpaduan serta kekuatan iman dan takwa.

“Suka saya mengingatkan saudara saudari sekalian supaya terus berusaha membina dan membangunkan masyarakat dan negara dengan menyatukan kekuatan zahir dan batin. Iaitu kekuatan ilmu pengetahuan dan perpaduan ummah serta kekuatan iman dan takwa kepada Allah SWT.

“Mudah-mudahan dengan kekuatan ini kita mendapat keredhaanNya jua,” titah baginda.

Tambah baginda, perpecahan dan perselisihan faham sesama umat Islam amat dikeji agama kerana ia boleh melemahkan kedudukan umat Islam dan kestabilan negara.

Malah baginda turut mengambil contoh keperibadian akhlak Nabi Muhammad dalam usaha menyatupadukan ummah.

“Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW ke dunia ini dengan tujuan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Akhlak merupakan contoh peribadi yang unggul yang dapat menyatukan ummah dalam satu kesatuan dan persefahaman,” titah Sultan Ibrahim.

Teks ucapan baginda disampaikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Masjid Bandar Pontian, di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota mengetuai rombongan perarakan Maulidul Rasul Peringkat Negeri Johor di Masjid Jamek Bandar Pontian.

Turut serta, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, barisan Exco Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Perarakan turut disertai kira-kira 2,000 umat Islam dari 73 kontigen yang mewakili pelbagai agensi seperti jabatan kerajaan, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan daerah.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta Syarahan Maulidul Rasul oleh kadi daerah Pontian, Khalil Mohd Noor.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang kontigen perarakan.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial