SEACO BERI LATIHAN KEWARTAWANAN

image (8)

SEGAMAT – Bagi mengenalpasti dan melaporkan isu-isu kesihatan atau sains yang terdapat di dalam daerah Segamat, Pusat Kajian Komuniti Asia Tenggara (Seaco) telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan wartawan sains masyarakat.

Eksekutif Media dan Komunikasi Seaco, Ummu Hani Abdul Ghani berkata, melalui program ini, Seaco memberi latihan kewartawanan kepada penduduk tempatan yang berminat untuk menjadi wartawan sains masyarakat.

“Mereka (wartawan) perlu mencari bahan berita dan suntingan video menggunakan applikasi telefon pintar selain diberi latihan mengenai kemahiran asas kewartawanan dan etika kewartawanan yang perlu ada dalam diri mereka.

“Antara objektif program ini adalah untuk menyediakan medium kepada orang ramai dalam menyampaikan secara aktif isu-isu berkaitan sains atau kesihatan yang terpencil dan tidak dilaporkan di mana-mana,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain itu, kemahiran yang dibina oleh wartawan sains masyarakat tersebut dapat dimanfaatkan dalam memperbaiki lagi pembangunan kesihatan dan kesejahteraan komuniti khususnya di daerah ini.

Katanya, Seaco juga turut menyasarkan penglibatan seramai 60 orang awam yang terdiri daripada empat kumpulan iaitu kumpulan remaja,  dewasa, warga emas dan juga komuniti Orang Asli untuk terlibat menjadi wartawan sains masyarakat ini.

“Setakat ini, Seaco telah menyediakan latihan untuk komuniti Orang Asli di Kampung Tamok, Bekok dan seramai tujuh penduduk asli dari suku kaum Jakun telah dilatih dengan kemahiran seperti merakam video, mengambil gambar dan suntingan asas menggunakan telefon pintar.

“Mereka juga turut diajar mengenai etika kewartawanan seperti pengesahan fakta, mendapatkan kebenaran dan bertanggungjawab ke atas apa yang dilaporkan. Bagaimanapun, ruang lingkup liputan mereka adalah komuniti mereka sahaja,” katanya.

Menurutnya, antara isu atau permasalahan yang telah dilaporkan melalui program ini adalah masalah pembuangan sampah, penjagaan pesakit kanser dan kehidupan warga emas yang tinggal bersendirian.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial