SEARCH BAKAL GEGARKAN JOHOR 24 OKTOBER

KUMPULAN SEARCH / MENARA KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR: Kumpulan Search bakal menghiburkan peminat mereka dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam Konsert Panggung Khayalan di Nusajaya, Johor, pada 24 Oktober ini. 

Konsert anjuran Universal Music Malaysia dengan kerjasama EduCity Iskandar Malaysia ini akan diadakan di Kompleks Sukan EduCity. Disifatkan sebagai sirih pulang ke gagang, konsert ini adalah titik permulaan buat kumpulan yang berasal dari Johor Bahru ini untuk menjelajah ke seluruh tanah air. 

Panggung Khayalan adalah sebuah lagu di dalam album studio Search bertajuk Rock N' Roll Pie yang diterbitkan pada tahun 1996 bersempena dengan ulang tahun ke-15 penubuhannya. 

Menurut Amy Search selaku vokalis kumpulan berkenaan, perkara itu dicadangkan pihaknya bagi menunaikan permintaan peminat yang tidak dapat menyaksikan persembahan mereka di Istana Budaya (IB) sebelum ini. 

"Konsert ini kesinambungan konsert di IB. Kita bawa keluar konsepnya. Peminat asyik tanya, jadi, bila Universal Music menawarkan untuk buat konsert, kami cadangkan buat macam di IB, seperti tahun lalu. 

"Mungkin akan ada sedikit perubahan tapi kebanyakannya sama," katanya pada sidang media di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini. Yazid yang sedang mendapatkan rawatan di hospital turut dijadualkan turun untuk membuat persembahan. 

Namun semua bergantung kepada tahap kesihatannya. Berkonsepkan gabungan rock dan panggung khayalan yang dipetik daripada lagu 'Panggung Khayalan' dari Album Rock n' Roll Pie, konsert ini dijangka menerima kehadiran kira-kira 10,000 peminat. 

Tiket konsert boleh didapati secara atas talian dengan melayari www.tickethotline.com.my dengan serendah RM66 untuk tempat duduk biasa dan paling ekslusif adalah RM756 untuk VIP Premium. 

Sebagai makluman hanya 100 tiket VIP Premium dijual. Pemegang tiket VIP Premium akan dapat turut serta ke majlis khas selepas konsert bersama semua ahli Search – BH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial