SEBAK BERTEMU SELEPAS 35 TAHUN TIDAK BERSUA

image (2)

PASIR GUDANG – Pelbagai perasaan menyelubungi bekas penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah dalam satu majlis tahunan di Bandar Seri Alam, di sini selepas tidak bersua lebih 35 tahun.

Ahli Jawatankuasa Reunion Ex IKM Sungai Petani Johor, Suchiati Adzim berkata, meskipun ia merupakan program tahunan sejak 2011, namun ramai yang hadir pada kali ini adalah penyertaan baharu.

Menurutnya, hampir 200 orang hadir dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk mengikat tautan kembali persahabatan yang pernah terjalin di zaman menuntut ilmu dalam era 1980-an di IKM Sungai Petani.

“Teruja, seronok, sebak dan pelbagai perasaan hadir tatkala kami dipertemukan kembali selepas 35 tahun tidak bersua.

“Kami semua menangis berpelukan termasuk peserta lelaki kerana terlalu gembira masih diberi peluang menatap wajah-wajah sahabat yang pernah bersusah payah bersama di zaman belajar dahulu,” katanya.

Suchiati berkata, lebih membanggakan apabila sebahagian besar bekas penuntut pelbagai bidang di IKM Sungai Petani itu sudah berjaya dalam pilihan kerjaya masing-masing.

Menurutnya, sebahagian besarnya adalah ahli perniagaan, arkitek, pengusaha kilang dan kontraktor yang boleh dibanggakan.

“Kita rancang majlis untuk tahun depan  diadakan di kawasan Kuala Lumpur,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial