SEGERA EKSTRADISI ALVIN TAN – KKMM

ALVIN TAN

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar untuk segera mengekstradisi blogger kontroversi Alvin Tan ke Malaysia. 

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari, berkata Alvin Tan yang kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, perlu diesktradisi segera agar tindakan undang-undang boleh diambil ke atas blogger berkenaan, yang baru-baru ini dikatakan menghina agama Islam dengan memuat naik gambarnya dengan tatu bertulis kalimah Allah di paha kirinya. 

"Kementerian sebelum ini, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menulis surat kepada pihak pengurusan Facebook (FB) agar memadamkan imej berkenaan yang dimuat turun oleh Alvin di FB miliknya. 

"Kini kita mohon kerjasama PDRM dan Kementerian Luar, kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk ekstradisi Alvin supaya blogger berkenaan dapat dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan yang dilakukannya. 

"Alvin tahu, selagi dia berada di luar negara, dia akan terlepas dari tindakan undang-undang. Sebab itu kita mahu dia segera diekstradisi agar tindakan sewajarnya dapat dikenakan ke atasnya," kata Jailani. 

Jailani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhir Pertandingan Peringkat Akhir Juara Bertemu Juara Bintang Klasik yang diadakan di Auditorium Darul Makmur, Sultan Ahmad Shah, RTM Pahang, di sini malam tadi. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. 

Beberapa hari lepas, Alvin didapati memuat naik gambar tatu bertulis kalimah Allah di paha kirinya, dan juga kata-kata yang menghina agama dan umat Islam di FB miliknya. 

Sementara itu, peserta dari Kluang, Johor, Rasyidah Abd Rahim, 24, dinobatkan juara keseluruhan serta memenangi persembahan terbaik pada pertandingan itu. 

Rasyidah yang kini mengandung anak pertama, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM65,000 dan piala iringan. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial