SEJARAH – Menteri Besar Johor Ke-11; Tan Sri Haji Hassan Yunos

Tan Sri Hj Hassan Yunos

Bapa Pembangunan Pertanian Negeri Johor

Antara ‘Orang Tujuh’ menentang Perjanjian Malayan Union

Oleh Haji Kamdi Bin Kamil (Pegawai Sejarah, Yayasan Warisan Johor)

Pendahuluan

Muar sebuah daerah yang melahirkan ramai tokoh pemimpin berwibawa. Enam daripada 15 Menteri Besar Johor adalah tokoh kelahiran Muar. Seorang daripadanya merupakan Menteri Besar Johor ke-11 yang dipilih melalui sistem demokrasi iaitu Pilihanraya 1959.

Beliau mempunyai kelainan dibandingkan Menteri Besar Johor lain iaitu mempunyai latar belakang akademik dalam bidang agama serta mempunyai semangat patriotik yang kental dengan menyertai “Kumpulan Tujuh” sehingga jawatannya digantung kerana melanggar syarat perjawatan Kerajaan Johor.

Cita-cita politiknya ialah mahu mewujudkan permuafakatan Melayu dan membayangkan akan bekerjasama dengan MCA dan MIC sehingga membentuk PERIKATAN. Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Pendidikan dan Kerjaya

Tan Sri Haji Hassan Yunos dilahirkan di Muar pada 1907. Setelah menamatkan pendidikan awal di Muar, Kerajaan Johor telah menghantar beliau melanjutkan pelajaran di Makkah dan kemudian memperolehi diploma dalam bidang syariah pada 1939 dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Setelah menamatkan pelajaran, beliau menyertai perkhidmatan awam Johor sebagai Penolong Mufti Negeri Johor mulai 1 Januari 1940. Pada 1 Januari 1943, beliau dilantik memegang jawatan Penolong Kadi Negeri Johor dan memangku jawatan Mufti Negeri Johor. Tan Sri Hassan Yunos pernah menganggotai Ahli Majlis Agama Negeri Johor dan Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor.

Ketika menjadi Pemangku Mufti, Tan Sri Haji Hassan Yunos menunjukkan iltizam dalam kegiatan pertubuhan atau badan ‘Lajnah Penghubung Pelajaran Agama Islam Muar’ atau dikenali sebagai LAJNAH yang ditubuhkan pada 1 Mac 1947.

Kegiatan Politik

Tan Sri Haji Hassan Yunos, seorang yang aktif dalam kegiatan politik dengan menyertai Persatuan Melayu Johor (PMJ) pimpinan Dato’ Abdul Rahman Muhamad Yasin, Yang Dipertua Pertama Dewan Negara.

Beliau juga adalah seorang pejuang UMNO bersama Dato’ Onn Jaafar menubuhkan UMNO dan menentang Melayan Union. Pada Februari 1946, PMJ mengadakan perhimpunan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru membantah tindakan Sultan Ibrahim menandatangani Perjanjian Malayan Union.

Beliau merupakan seorang ‘Orang Tujuh’ atau ‘Kumpulan Tujuh’ yang mengemukakan bantahan tersebut. Enam yang lain ialah Dato’ Abdul Rahman Muhamad Yasin (Ketua), Kosai bin Muhammad Salleh (Dato’), Dr Awang bin Hassan (Tun), Sulaiman bin Abdul Rahman (Dato’) dan Cikgu Ahmad Sulaiman dan Safiah Sulaiman. Dato’ Abdul Rahman Muhamad Yasin dalam satu ucapannya di Masjid Abu Bakar telah berkata:

            “….. Sekarang adalah masa kita bergerak dan bekerja untuk faedah bangsa, watan dan agama kita. Bukan lagi masa kita bercakap-cakap dan masa kita melihat faedah diri kita sendiri. Tidak tuan-tuan. Sekarang masa kita mesti membuka mata, masa kita mara ke hadapan, masa kita berjuang mempertahankan hak-hak kita yang benar lagi halal. Insya-Allah semuannya itu akan kita kerjakan……”

Apabila Dato’ Onn meninggalkan UMNO, bekas pemimpin PMJ termasuk Haji Hassan Yunos menguasai UMNO Johor. Setelah UMNO disusun semula pada 1947, Haji Hassan bergerak aktif di Muar dengan memegang jawatan Pengerusi Penerangan UMNO Muar.

Dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Persekutuan, beliau memenangi kerusi Muar Utara dengan mengalahkan calon Parti Negara. Setelah itu beliau dilantik menganggotai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, Haji Hassan Yunos memenangi Kerusi Kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor melalui sistem demokrasi pada 27 Jun 1959.

Dalam pilihan raya umum 1964, sekali lagi memenangi pilihan raya Kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang dan terus dilantik menjadi Menteri Besar Johor sehingga 31 Januari 1967. Beliau merupakan Menteri Besar Johor pertama dilantik menerusi proses pilihanraya.

Pembangunan Ekonomi

Ketika Tan Sri Haji Hassan Yunos menjadi Menteri Besar Johor, bidang ekonomi negeri Johor mengalami pertumbuhan memberangsangkan. Kerancakan pembangunan jelas kelihatan apabila kerajaan negeri membina projek perumahan sebanyak 1,000 unit di Larkin.

Projek seumpama juga dilaksanakan di Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Batu Pahat dan Muar. Pada masa Tan Sri Haji Hassan Yunos memajukan perumahan rakyat, sebuah stadium di Larkin turut dibina dengan nama Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos. Stadium ini dibina dengan tujuan untuk memajukan sukan di kalangan belia negeri Johor.

Sebuah badan berkanun dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Johor (LKTJ) turut ditubuhkan bertujuan membuka ladang getah dan kelapa sawit yang diagihkan kepada orang Melayu yang tidak memiliki tanah untuk dimajukan.

Tan Sri Haji Hassan Yunos sendiri menjadi Pengerusi LKTJ. Dengan kegigihan beliau, kerajaan negeri berjaya membuka beribu-ribu hektar tanah di Kota Tinggi Endau, Muar dan Segamat. Setiap rancangan terdapat antara 200-300 peserta. Setiap peserta diberi kemudahan rumah yang bernilai RM4,000 dan tanah seluas 10 ekar untuk dimajukan.

Tan Sri Haji Hassan Yunos mensasarkan kemajuan negeri Johor kepada ekonomi berasaskan pertanian. Ketika beliau menjadi pentadbir negeri Johor, pelbagai kegiatan pertanian dijalankan seperti penanaman getah, kelapa sawit, nanas dan kelapa. Ini melibatkan sejumlah sepertiga penggunaan tanah di Johor untuk sektor pertanian. Oleh itu boleh dikatakan bahawa Tan Sri Haji Hassan Yunos adalah sebagai Bapa Pembangunan Pertanian Negeri Johor

Anugerah Kebesaran

Tan Sri Haji Hassan Yunos telah dianugerahi beberapa pingat, antaranya Pingat Ibrahim Sultan (PIS) dan Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Dato’ oleh Sultan Johor. Beliau juga dianugerahi bintang Panglima Mahkota Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Seri Paduka Yang Dipertua Agong.

Tan Sri Haji Hassan Yunos kembali ke rahmatullah pada 12 Julai 1968.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial