Sekatan Keluaran Modal Beijing Tidak Jejaskan Forest City

PASIR GUDANG, 11 Mac – Sekatan keluaran modal yang dikuatkuasakan oleh Beijing tidak menjejaskan pembangunan Forest City di Johor.

Tegas Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, walaupun ia menjejaskan pemaju-pemaju, namun projek Forest City tidak tertumpu kepada pembeli China semata-mata.

“Forest City itu masih lagi dalam peringkat pembinaan dan belum ada pendaftaran, hanya tempahan.

“Kedua, Forest City itu tidak terhad hanya kepada rakyat China tetapi terbuka kepada seluruh dunia dengan pemasaran di Australia, Timur Tengah dan Eropah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Cendana di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang dasar kawalan modal yang dilaksanakan oleh China bagi mengekang aliran keluar mata wang Yuan.

Ditanya tentang kesan jika dasar China itu berlarutan, Mohamed Khaled berkata bergantung kepada pasaran kerana ia di dalam sektor swasta.

“Soal pembinaan Forest City adalah bergantung kepada faktor pasaran, permintaan dan penawaran.

“Akhirnya, ia bukan hanya sebuah projek kondominium, tetapi ia juga menyediakan kemudahan perdagangan, perniagaan, pemasaran dan kewangan.

“Apabila sudah bertapak di situ, sudah tentu ia akan menarik pelbagai bangsa dan rakyat, bukan hanya rakyat China,” jelasnya.

Tambah beliau, ini sekaligus menepis dakwaan-dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kemasukan 700,000 warga China ke Forest City.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial