Sektor Hartanah dan Kesihatan Bakal Rancakkan Pembangunan di Batu Pahat

img_0044

 

BATU PAHAT, 18 Okt – Daerah Batu Pahat bakal menikmati lebih banyak manfaat apabila pembangunan sektor hartanah dan kesihatan bakal dilaksanakan di situ.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan kedua-dua sektor itu juga akan membantu merancakkan lagi ekonomi daerah berkenaan, selain terkenal dengan industri pembuatan dan pemprosesan.

“Batu Pahat merupakan daerah yang dinamik dan penting, maka pembangunan projek perumahan mampu milik dan pembinaan pusat kesihatan di sini adalah bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Malah, ia turut menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri bagi memastikan kesejahteraan dan keseimbangan masyarakat, serta manfaat pembangunan itu juga dapat dirasai di seluruh Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Taman Mutiara Gading dan Pembinaan KPJ Batu Pahat Specialist Hospital, di Taman Mutiara Gading, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh JCorp itu juga membuktikan kesungguhan mereka untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam mendukung hasrat bagi menjayakan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Menerusi anak syarikatnya Johor Land Berhad (JLand), JCorp terus komited menyediakan pembinaan 2,780 unit hartanah bercampur-campur di atas tanah seluas 236 ekar.

“Daripada jumlah itu, pembinaan merangkumi sebanyak 1,599 unit rumah teres dua tingkat, 1,060 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah, 113 unit kedai pejabat, 6 unit kedai sederhana rendah serta 2 lot komersil.

“Malah, lebih membanggakan, mereka telah menukar pembangunan hartanah strata di kawasan itu kepada pembangunan rumah bertanah atau landed dikenali sebagai Perumahan Awam Johor jenis teres sebanyak 211 unit, selepas mengambil kira permintaan tinggi terhadap rumah jenis itu,” katanya.

Menurutnya lagi, keperluan terhadap penyediaan pusat kesihatan pakar di situ juga adalah bagi memastikan rakyat di kawasan tersebut mendapat perkhidmatan perubatan yang terbaik, di samping tidak perlu mendapatkan rawatan di tempat lain.

“Pembinaan KPJ Batu Pahat Specialist Hospital dengan kos berjumlah RM95 juta itu akan menempatkan 90 katil bagi Fasa 1 dan dijangka siap menjelang 2018.

“Ia bakal menempatkan 20 orang pakar di situ, selain keupayaan KPJ sendiri yang mempunyai 1,000 orang pakar di 25 hospital di dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Bangladesh.

“Malah, dengan pencapaian tersebut, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan mereka untuk turut hadir di peringkat serantau selain menjadi pemain global dalam sektor kesihatan,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial