Sektor PKS Johor Diperkasa


JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri mahu memperkasa bidang keusahawanan di negeri ini dengan menjadikan ‘Keusahawanan Johor’ sebagai misi utama mengukuhkan daya saing ekonomi Johor.

Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata untuk merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Pembangunan Strategik PKS Johor khusus untuk membangunkan sektor itu secara menyeluruh.

“Pelan ini dibangunkan kerana di Johor, kita mahu semua dasar kita tentang keusahawanan jelas dan difahami. Kita mahu strategi kita dilaksanakan dan mendatangkan impak.

“Dan yang paling penting, pelan ini dirangka untuk memanfaatkan usahawan dan ikhtiar keusahawanan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gerak Usahawan Negeri Johor. Beliau turut melancarkan Pelan Pembangunan Strategik PKS Sempena Minggu PKS Kebangsaan 2015 pada majlis itu, di sini semalam. Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’Sri Mustapa Mohamed.

Menurut Mohamed Khaled, Pelan Startegik PKS ini sangat penting kerana Johor memerlukan pertumbuhan ekonomi yang lebih ‘sosphisticated’ dan dinamik.

“Sektor PKS mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Pertumbuhan ekonomi mesti menghasilkan peluang pekerjaan yang baik dan bermutu. Ini hanya boleh dilakukan bila sektor PKS kita dinamik,” katanya.

Tambah beliau lagi, sektor PKS dilihat mampu mengimbangkan kembali ekonomi terutamanya jika pengembangan sektor PKS itu dilakukan secara lebih serius dan inklusif.

“Melalui pelan ini kita berharap dapat mencari kaedah baharu demi mengurangkan kebergantungan pada pola pertumbuhan yang bersandar kepada industri bersifat mega dan berprofil tinggi,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, selain itu sektor PKS boleh menjadi pemain dalam industri berorentasikan eksport.

“Kita mesti mengeksport dan memperdagangkan lebih banyak barangan kita ke seluruh dunia. Lihat sahaja Batu Pahat. Ia mempunyai sektor pembuatan perabot, tekstil dan biskut berkepentingan global. Semuanya bermula sebagai perniagaan kecil dan sederhana sahaja.

“Batu Pahat adalah bandar di luar Lembah Kelang yang mempunyai begitu banyak syarikat awam yang disenaraikan dan contoh terbaik bagaimana pelbagai PKS telah ditrasformasikan menjadi syarikat awam yang bersifat global. Dan kita memerlukan lebih banyak cerita kejayaan seperti di Batu Pahat,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial