Saya Akan Terus Katakan Beliau Berbohong – Khaled

mb pc

BATU PAHAT, 23 Jan – “Selagi Tun Dr. Mahathir terus membuat kenyataan tidak benar berhubung isu 700,000 warga China dan pemberian kerakyatan kepada pembeli hartanah di Forest City, saya akan terus mengatakan beliau berbohong,” demikian tegas Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menyelar tindakan bekas Perdana Menteri itu dan sekutunya yang terus cuba menakut-nakutkan rakyat negeri Johor berhubung projek mega berkenaan serta pembangunan pesat di Johor.

“Bukan semua orang yang suka dengan pencapaian-pencapaian kita atas bermacam sebab. Ada yang mungkin iri hati, ada yang mungkin bagi maksud politik. Mereka mempersoalkan tahap keselamatan kita, membangkitkan isu risiko lebihan hartanah dan pembangunan kita tidak akan berjaya,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, Kerajaan Negeri telah berjaya membuktikan bahawa tanggapan itu tidak betul.

Justeru, taktik menakutkan rakyat Johor pula digunakan dengan menyatakan kononnya 700,000 warga China akan menetap di Forest City dan pembeli hartanah di projek itu akan diberi kerakyatan.

“Bohong! Forest City itu akan siap kira-kira 30 tahun daripada sekarang dan jikalau betul akhirnya akan ada 700,000 orang, tak mungkin semuanya daripada China kerana pemasaran projek ini dibuat ke seluruh dunia dan bukan kepada warga tanah besar China sahaja.

“Kenyataan sedemikian juga merupakan satu pertikaian terhadap dasar imigresen dan dasar pemberian kerakyatan negara. Tidak akan begitu mudah untuk mendapat kerakyatan hanya dengan membeli sebuah apartment?,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika membuat lawatan kerja sehari ke Parlimen Parit Sulong hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan serta Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani.

Ujar Mohamed Khaled lagi, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan rapi untuk memastikan pembangunan rancak tidak memberi kesan yang buruk kepada rakyat tempatan.

Menurut beliau, penambakan telah membantu mengelak pelbagai masalah warga asing merebut hartanah dengan warga tempatan di Johor, di samping membawa nilai pelaburan yang amat besar dan akan membantu kerajaan menyebar luas manfaatnya kepada rakyat.

“Johor mempunyai keluasan 4.6 juta ekar, manakala tanah yang ditambak untuk Forest City hanya kira-kira empat ribu ekar, bersamaan dengan 0.1% keluasan keseluruhan negeri Johor.

“Jadi, apa yang perlu ditakutkan oleh penambakan tanah kecil itu sehingga termakan dengan pembohongan yang dilakukan oleh mereka? Pelaburan besar yang memasuki negeri Johor hasil projek Forest City serta pembangunan lain yang diusahakan dalam wilayah Iskandar ini sudah tentu akan meningkatkan kedudukan kita sebagai kuasa ekonomi serantau, sekaligus memakmurkan lagi negeri kita” tegas beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial