SEMANGAT PATRIOTIK EMPAT GENERASI

image

MERASAI kepayahan hidup di zaman darurat sebelum Tanah Melayu mengecap kemerdekaan, mendorong seorang peneroka, Kapandi Hanapiah, 70, meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotisme bersama ahli keluarganya.

Menjadi kelaziman keluarga ini meraikan kemerdekaan dengan memupuk semangat cintakan negara dengan menerapkan unsur patriotik termasuk menghias kediaman di Felda Redong 1, Labis, Segamat, dengan Jalur Gemilang dan pelbagai gambar berkaitan kemerdekaan.

Kemeriahan keluarga Kapandi yang kini mempunyai empat generasi menyambut kemerdekaan turut mendapat perhatian jiran untuk bergambar di setiap ruang landskap yang dibina khas mengikut tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

“Sebulan sebelum Hari Kebangsaan, anak-anak buat persiapan termasuk buat landskap di sekeliling rumah dan pintu gerbang. Mereka turut bina replika Menara Berkembar Petronas.

“Setiap landskap hasil kreativiti anak-anak dan turut disertai maklumat macam mana pejuang dulu berkorban menuntut kemerdekaan.

“Kami sekeluarga adakan sambutan kemerdekaan di rumah bermula dengan ambang merdeka. Macam-macam aktiviti dibuat termasuk baca sajak, tonton filem Sarjan Hassan, pakcik dan isteri turut potong kek Jalur Gemilang yang dihadiahkan anak-anak,” katanya.

Saban tahun, Kapandi akan berkongsi pengalamannya ketika di zaman darurat dan keperitan negara dicengkam keganasan komunis dengan 10 anak, 27 cucu dan tiga cicitnya.

Katanya, dia turut sama-sama membuat kawalan di kampung untuk menyekat kemaraan komunis.

"Pakcik bangga dapat bantu pihak polis tangkap tentera musuh dan dibawa ke Balai Polis Sagil, Muar.

“Pakcik masih ingat bunyi tembakan dan bom masa tentera Konggo bantu pihak British bertempur dengan komunis. Bertuahnya kita bila dapat mengecap kemerdekaan sehingga hari ini," katanya.

Menurutnya lagi, ketika zaman pasca merdeka, sukar mendapatkan makanan,

"Pakcik pernah rasa hidup di zaman ubi kayu, bekalan makanan pun kena catu, jika ada beras diberi pun segenggam.

"Alhamdulillah zaman itu dah berlalu, pakcik bersyukur kesemua anak, cucu dan cicit dapat merasai nikmat merdeka hasil pengorbanan pejuang terdahulu,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial