Semarak Johor 2016 Ruang Terbaik Rakyat Berinteraksi Dengan Kerajaan

semarak-johor-2
Foto : Jabatan Penerangan Johor

MUAR, 16 Okt – Program Semarak Johor adalah platform terbaik bagi rakyat untuk berinteraksi dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, kata Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata menerusi penganjuran program itu, agensi dan jabatan terbabit berpeluang mendapat maklum balas terus daripada masyarakat dalam menjalankan tangungjawab sebagai nadi jentera yang menggerakkan agenda pembangunan negeri dan negara.

“Usaha itu perlu memiliki integriti dan diuruskan dengan baik agar dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian Program Semarak Johor Muar 2016 di Dataran Tanjung Emas di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Program Semarak Johor Muar 2016 dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia selepas program Semarak Tangkak pada April lepas.

Mohamed Khaled berkata pembaharuan perlu dilakukan dalam usaha memodenkan perkhidmatan agensi kerajaan secara menyeluruh dan bersesuaian dengan tuntutan zaman.

Beliau berkata perubahan itu adalah daripada ketegaran kepada keanjalan, yang merupakan langkah berubah daripada kebiasaan melakukan sesuatu kepada kebiasaan menghasilkan yang terbaik.

Perubahan lain yang perlu dilakukan adalah beralih daripada hanya membudayakan ‘out put’ dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan keberhasilan secara lebih menyeluruh.

“Kita perlu merenung kembali, meneliti dan mengkaji setiap tata cara urus tadbir yang jadi kelaziman kepada kita agar perkhidmatan yang kita berikan lebih memberi kesan maksimum, mengurangkan pembaziran, tepat dan padat sifatnya,” katanya.

Beliau berkata perubahan lain yang perlu dilakukan adalah birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara serta menyenangkan rakyat.

“Kita mesti mengguna pakai sistem yang relevan dengan kehendak zaman, menambah baik mekanisme bagi memberi mandat kepada mereka yang layak dengan lebih optimum.

“Kebertanggungjawaban sebegini memberikan pengalaman dan penghormatan bahawa setiap entiti sektor perkhidmatan adalah penting, bersama dan integrasinya,” katanya.

Selain itu, peralihan daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi juga perlu dilakukan bagi menentukan kejayaan sesuatu organisasi.

“Bersesuaian dengan kehendak semasa dan arus globalisasi kini, setiap pihak di dalam sektor perkhidmatan perlu diterapkan dan dipupuk dengan elemen produktiviti, kreativiti dan inovasi,” katanya. – BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial