Semoga Tuntutan Berjaya

PASIR GUDANG, 4 Feb – Kerajaan Negeri berharap semakan semula tuntutan kerajaan pusat terhadap Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor menyokong penuh keputusan kerajaan pusat mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Saya baca di akhbar, Peguam Negara mengatakan apabila Kerajaan British mengubah status dokumen kepada umum beberapa dokumen mengenai Batu Puteh, beberapa dokumen yang boleh mengukuhkan tuntutan Malaysia dan Johor terhadap pulau berkenaan telah dituemui.

“Kita menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak Peguam Negara. Kita harap kita akan berjaya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Pasar Muafakat Sabah @ Johor dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Masyarakat Sabah di Sri Alam di sini hari ini.

Mengenai majlis itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri mahu memastikan masyarakat Sabah yang hidup di Johor ini terbela dan mempunyai wakil yang boleh menjadi penghubung antara mereka dengan Kerajaan Negeri. 

“Ini kerana Kerajaan Negeri mahu supaya masyarakat Sabah yang berada di Johor dalam keadaan terjaga dan terpelihara supaya mereka dapat hidup dalam keadaan yang mereka hasratkan.

“Jadi sebab itulah Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewujudkan jawatan Ketua Masyarakat dari kalangan orang Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 20,000 masyarakat Sabah yang menetap di Johor dan daripada jumlah itu, 13,000 menetap di kawasan Pasir Gudang.

Mengenai pembinaan Pasar Muafakat Sabah @ Johor, Mohamed Khaled berkata, dalam lawatan beliau dua bulan lalu, perkara itu ada dipohon oleh wakil masyarakat Sabah bagi menampung keperluan masyarakat Sabah yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan itu.

“Suka saya maklumkan Kerajaan Negeri sudah bersetuju untuk membina apa yang kita panggil Pasar Muafakat Sabah di Johor yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Daripada jumlah itu, RM1 juta adalah daripada Pejabat Menteri Besar manakala bakinya oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Ia akan dibina dalam tempoh lapan bulan bermula Mac ini, dan akan menempatkan 40 unit gerai, pejabat urusan, ruang legar dan surau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial