Semua Ahli Parti Bertanggungjawab

PARIT SULONG, 12 Ogos – Persepsi dan rasa kerdil seolah-olah sumbangan tidak membawa kesan dalam parti perlu diubah dalam kalangan ahli-ahli UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ramai yang berfikir sedemikian kerana mereka tidak memegang apa-apa jawatan sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat akar umbi.

“Ini mesti diubah kerana siapa pun kita, apa pun kedudukan kita dalam parti, kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dan sama pentingnya dengan pemimpin parti.

“Kelangsungan parti, bangsa, dan agama tergalas dan terpikul di atas bahu setiap mereka yang hidup atas nama Islam dan Melayu,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, di MRSM Batu Pahat, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang turut melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden parti.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Tambah Mohamed Khaled, setiap ahli berperanan untuk menyumbang dalam apa jua cara yang mereka mampu.

“Yang berduit, sumbangkan dana. Yang berilmu, sumbangkan idea. Yang pandai berhujah, bercakaplah bagi pihak parti.

“Selagi UMNO belum menang besar dan selagi kelangsungan politik orang Melayu Islam di Johor belum terjamin, selagi itulah kita tidak akan berhenti,” tegas beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial