Senarai Hitamkan Pemilik Premis Judi

ISKANDAR PUTERI, 8 Sept – Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitamkan mana-mana pemilik kediaman dan kedai yang membenarkan premis mereka digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian termasuk judi dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata langkah menyenarai hitam yang berkuat kuasa serta merta itu dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menghapuskan perjudian di negeri ini termasuk judi atas talian yang semakin berleluasa di bangunan kedai dan kediaman.

“Sebelum ini kita hanya mengambil tindakan terhadap peniaga yang terlibat, namun, kali ini kita putuskan untuk mengenakan tindakan senarai hitam mungkin sehingga setahun terhadap pemilik premis yang menyewakan bangunan kedai atau rumah mereka yang didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Negeri Johor di sini hari ini.

JOHOR BAHRU 07 October 2014. (METRO JA130D) Sebahagian mesin judi yang di rampas oleh anggota Polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat D7 dari IPK Johor Bahru, melakukan serbuan di beberapa premis yang menjalankan aktivivti perjudian mesin judi pada Ops Dadu di Pasir Gudang. NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Foto: NSTP 2014

Beliau berkata, apabila tindakan senarai hitam dikenakan, bekalan air dan elektrik di premis itu akan dipotong dan pemiliknya perlu mengemukakan rayuan bagi membolehkan bekalan elektrik dan air disambung semula.

Mengenai perkara yang sama, Abdul Latif berkata mesyuarat MMK semalam turut memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Task Force Pusat Judi yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim di peringkat negeri manakala pegawai-pegawai daerah sebagai pengerusi task force di peringkat daerah.

“Jawatankuasa itu akan turut melibatkan agensi berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ)Holdings Sdn Bhd bagi melakukan operasi bersepadu di seluruh negeri,” katanya.

Ujar beliau lagi, sejak Januari hingga Ogos tahun lepas, PDRM telah menjalankan sebanyak 3,877 serbuan ke atas pusat judi termasuk judi siber di negeri ini dan berjaya membuat 3,008 tangkapan serta merampas 899 pelbagai barangan melibatkan perjudian.

“Bagi Januari hingga Ogos tahun ini pula, sebanyak 2,677 serbuan dilakukan dengan berjaya menahan 5,672 individu serta merampas 10,434 pelbagai barangan melibatkan perjudian,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial