Sifar Dadah Menjelang 2018

IMG_9953 00702 1

Penjawat awam negeri wajib ujian mulai tahun hadapan

Oleh Hamirul Hairi Mohd Noh

KERAJAAN Johor komited membanteras penyalahgunaan dadah dengan mewajibkan penjawat awam di negeri ini menjalani ujian saringan air kencing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi melaksanakan ujian itu secara berperingkat bermula awal 2015.

Ujian itu dilakukan bagi menjadikan kakitangan awam di Johor sebagai contoh kepada masyarakat dalam membuktikan bahawa Kerajaan Negeri serius membanteras penyalahgunaan dadah  sekaligus usaha mencapai status Johor Sifar Dadah menjelang 2018.

“Individu pertama akan buat ujian ialah Menteri Besar sendiri. Sebagai ketua Kerajaan Negeri, beliau sendiri tampil ke hadapan untuk menjalani ujian sebagai contoh untuk diikuti  penjawat awam lain,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat bersama Pemadam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersetuju untuk mewajibkan kakitangan awam negeri untuk menjalani ujian saringan air kencing secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

“Oleh kerana penjawat awam Johor lebih kurang 20,000 orang, kita sasarkan untuk melakukan ujian terhadap 5,000 penjawat awam dalam setahun.

“Buat permulaan, ujian akan dilakukan kepada kakitangan awam Johor. Bagaimanapun, kita mengalu-alukan jika ada kakitangan jabatan Persekutuan untuk turut sama mengambil ujian ini,” katanya.

Ayub berkata, sebelum ini sudah ada ujian yang dilaksanakan kepada penjawat awam secara rawak dan hasil hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan AADK, lima daripada 274 penjawat awam dikesan positif dadah.

“Walaupun jumlah itu dianggap kecil, namun secara tidak langsung memberi impak terhadap integriti penjawat awam secara amnya,” katanya.

Beliau berkata, tujuan pelaksanaan ujian itu bukan untuk menghukum sebaliknya menyelamatkan mereka melalui proses kaunseling dan bimbingan selama tiga di pusat pemulihan di seluruh Johor manakala identiti mereka dirahsiakan.

“Ia dilakukan bagi mewujudkan dan membentuk penjawat awam yang efisien serta efektif serta bebas dadah.  Ini berbeza jika mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan pihak berkuasa, mereka akan dihadapkan ke mahkamah, seterusnya berhadapan dengan jawatankuasa tatatertib jabatan.

Namun begitu, jika penjawat awam itu didapati positif setelah melalui ujian yang seterusnya, maka tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka,” katanya.

Komen Penjawat Awam

Kakitangan Bahagian Keselamatan, Kamaruddin Mohd Noor, berkata, langkah itu amat bertepatan dengan hasrat kerajaan memerangi dadah,  lebih-lebih lagi ia melibatkan kakitangan awam kerana mereka ini seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Bagi, Ketua Pembantu Tadbir Unit Perancang Ekonomi Negeri, Zaleha Ahmad, beliau amat menyokong hasrat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan ujian saringan itu.

“Ini menunjukkan komitmen yang telus dari Kerajaan Negeri dalam memastikan kakitangannya bebas daripada gejala dadah,” katanya.

Pembantu Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Lua Shu Ping, berkata, langkah itu secara tidak langsung akan mewujudkan suasana lebih selamat kepada kakitangan awam dan mana-mana individu yang terlibat  dikenakan tindakan seperti menyertai program pemulihan dan sebagainya.

INFO JAUHAR

▪ Program-program pencegahan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukkan sebanyak RM500,000.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial