SINDIKET SELUDUP ROKOK TUMPAS

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok haram hasil dua serbuan di lokasi berasingan, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua serbuan berkenaan membabitkan rampasan keseluruhan 38,400 bungkus rokok pelbagai jenis dengan anggaran nilai keseluruhan termasuk kereta, bot, enjin sangkut dan cukai sebanyak RM460,000.

Menurutnya, anggota PPM Pengerang dalam serbuan pertama mengesan sebuah bot laju yang mencurigai ketika menjalankan operasi di Perairan Desaru, Bandar Penawar Kota Tinggi, sekitar jam 2.30 pagi kelmarin.

“Pemeriksaan ke atas bot yang mendarat di tepi pantai berhampiran Kompleks Sukan Air dan Udara (Pulau Hijau) Bandar Penawar menemui 23,700 bungkus rokok pelbagai jenis.

“Dua suspek terjun dari bot dan menghilangkan diri di kawasan hutan pesisir pantai. Bot dan barang kes dibawa ke pangkalan PPM Pengerang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Khiu Khon Chiang berkata, serbuan kedua di kawasan daratan berhampiran kompleks sukan air dan udara (Pulau Hijau) Bandar Penawar sekitar jam 4 pagi berjaya menemui 14,700 rokok haram pelbagai jenis.

Menurutnya, anggota operasi yang tiba di lokasi melihat beberapa individu sedang memunggah barang ke dalam sebuah kereta jenis Mercedez Benz Elegance E320.

“Menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan tidak dapat dikesan.

"PPM sentiasa prihatin terhadap sebarang aktiviti haram atau ancaman yang berlaku di perairan negara.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada  PPM Wilayah 2, Johor melalui talian 07-237 6122,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial