SINGA DI ZOO JOHOR BERANSUR PULIH

Zoo_Johor.transformed

JOHOR BAHRU: Singa tua dan kurus yang dilaporkan menderita disebabkan cengkaman kukunya dan rakaman videonya menjadi viral di media sosial baru-baru, kini beransur pulih. 

Pengurus Zoo Johor, Zakaria Razali, berkata singa jantan berusia 18 tahun bernama Syarif itu telah dikuarantinkan ke sebuah kandang khas untuk dirawat. 

"Syarif semakin pulih setelah dipotong kukunya serta selera dan berat badannya semakin meningkat berbanding minggu sebelum ini," katanya semasa ditemui pemberita di zoo itu selepas program pengayaan Zoo bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di sini hari ini. 

Zakaria berkata, Syarif menghadapi masalah kuku kaki belakang yang mencengkam tapak kakinya sehingga menyebabkan ia tidak dapat mengais dan mencengkam seperti biasa. 

"Kami berharap setelah mendapat rawatan yang secukupnya, Syarif akan kembali sihat seperti biasa dan boleh dialihkan ke kandang asal dalam tempoh dua hingga tiga minggu," katanya. 

Beliau berkata, Syarif yang juga singa tertua daripada 13 ekor singa di zoo berkenaan, biasanya aktif pada waktu malam dan memakan tiga hingga empat kilogram daging setiap hari. 

Ditanya tentang isu pemindahan tapak zoo ke Nusajaya, Zakaria berkata perkara itu belum diputuskan lagi dan pihaknya bersedia sekiranya diminta berbuat demikian. 

"Pihak kami dimaklumkan kawasan yang terletak di Nusajaya berkeluasan 20.2 hektar yang terdiri daripada 16.19 hektar untuk menempatkan haiwan sementara dua hektar lagi bagi tujuan landskap," katanya. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata pihaknya bersedia membantu dari segi kewangan mahupun penyediaan tapak sekiranya pihak zoo ingin memindahkan zoo berkenaan.

 "Kami sedang menunggu keputusan kerajaan negeri untuk membuat keputusan sama ada dipindahkan atau sebaliknya," katanya. Ismail berkata, sebelum sesebuah zoo dipindahkan, banyak aspek yang harus dikaji termasuk ekosistem dan habitat haiwan berkenaan bagi memastikan kesesuaian tapak baharu itu. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial