Sistem ‘Mentor’ Bakal Majukan Sektor Pertanian

Mohamed Khaled menyampaikan geran hak milik tanah kepada salah seorang penduduk pada majlis yang diadakan sempena lawatan ke Parlimen Tenggara.

KOTA TINGGI, 12 Mac – Kawasan tanah pertanian di Parlimen Tenggara, dekat sini bakal dibangunkan melalui sistem ‘mentor’ yang akan memberi manfaat kepada pemilik tanah tersebut.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sistem itu akan digunapakai kepada tanah-tanah pertanian termasuk tanah terbiar dan tanah yang telah diberi hak milik.

“Kita akan mencari mentor yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang memerlukan bekalan makanan yang bukan sahaja terhad kepada pasaran di dalam negara, tetapi pasaran di peringkat global.

“Melalui sektor bioteknologi dan industri asas tani, syarikat-syarikat mentor akan bekerjasama dengan pemilik tanah supaya apa sahaja tanaman yang diusahakan akan diambil olehnya.

“Ini adalah sebagai jaminan kepada tanaman yang diusahakan bagi memenuhi keperluan ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah, di Kg Sri Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Dato’ Baderi Dasuki, ADUN Pasir Raja, Dato’ Sri Dr. Adham Baba dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Beliau berkata, masih ramai yang tidak memberi tumpuan dalam pembangunan sektor pertanian yang menyebabkan banyak tanah tersebut terbiar.

“Kerajaan Negeri mendapati banyak tanah pertanian terbiar kerana ada yang majukan tanah tersebut tetapi tidak mendapat hasil yang lumayan.

“Malah terdapat juga pemilik tanah yang tidak fokus mengusahakan tanah pertanian mereka,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, dengan adanya sistem mentor, matlamat untuk memajukan sektor pertanian akan tercapai seterusnya menjadi penyumbang kepada hab makanan dalam negara.

Sebagai permulaan, sistem itu akan dimulakan dengan tanaman nanas kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di luar negara.

Pada majlis tersebut, seramai 81 penduduk Kg. Sri Aman berjaya menerima geran hak milik tanah bagi kategori tanah pertanian, yang diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Majlis penyampaian geran diadakan bersempena lawatan kerja Menteri Besar Johor ke Parlimen Tenggara, iaitu parlimen ke-14 yang dikunjungi bagi menyelesaikan isu-isu pembangunan setempat.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial