Sistem Pendidikan Guna Aplikasi Digital Di Sekolah Agama Johor

BATU PAHAT, 14 Julai – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan sistem pendidikan agama moden menggunakan aplikasi digital di semua sekolah agama negeri ini sebagai langkah memantapkan institusi pendidikan agama di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata projek perintis berkenaan sedang dilaksanakan di Sekolah Agama Bandar Pasir Gudang dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Johor.

Katanya, pemodenan sistem pendidikan agama di negeri ini bagi menarik minat pelajar supaya teruja ke sekolah agama sekali gus mentranformasikannya.

“Aplikasi digital khas untuk sekolah agama ini akan diperluas ke semua sekolah agama Johor mulai tahun depan.

“Pada masa ini, projek perintis tiga fasa yang sedang dijalankan di dua sekolah agama berkenaan berjalan lancar dengan keseluruhan kos membangunkan sistem itu bernilai RM14 juta.

“Menerusi aplikasi digital yang boleh diakses menerusi peranti tablet itu, pelajar boleh menggunakannya untuk mempelajari cara untuk berwudhu dengan lebih interaktif dan menyeronokkan selain pelbagai kaedah Islam yang dimuat naik ke dalam aplikasi berkenaan.

“Kita juga akan umumkan beberapa langkah berterusan bagi memantapkan sekolah agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan secara serentak lima Sekolah Agama Johor di kawasan parlimen Air Hitam dalam satu majlis yang diadakan di Sekolah Agama Parit Bingan di sini hari ini.

Sekolah- sekolah berkenaan adalah Sekolah Agama Parit Bingan, Sekolah Agama Ayer Hitam, Sekolah Agama Seri Mendapat, Sekolah Agama Parit Semo dan Sekolah Agama Taman Kota, membabitkan kos RM19 juta.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

Mohamed Khaled berkata Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi tumpuan memantapkan sistem pendidikan agama di negeri ini seiring dengan pembangunan dan cabaran yang dihadapi masa kini.

“Memandangkan cabaran-cabaran baru yang dihadapi, tidak cukup hanya sediakan bangunan fizikal sahaja tetapi perlu melihat kepada cabaran-cabaran lain yang sedang kita lalui,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial