SOJC Platform Terbaik Pemain Muda Tonjol Bakat Untuk Sertai Skuad Kebangsaan

JOHOR BAHRU, 31 Okt – Kejuaraan hoki Piala Sultan Johor 2016 (SOJC) yang bermula hari ini merupakan platform terbaik bagi pemain muda untuk menunjukkan kemampuan sebenar mereka bagi mengintai peluang dilamar menyertai skuad hoki kebangsaan pada tahun hadapan.

Pembantu jurulatih skuad hoki remaja negara Muhammad Amin Rahim berkata SOJC merupakan kejohanan terakhir untuk tahun ini dan pemain perlu merebut peluang itu dengan mempersembahkan aksi terbaik mereka jika berhajat untuk menyertai skuad hoki kebangsaan.

“Sudah pasti ramai jurulatih akan turun ke Stadium Hoki Taman Daya bagi melihat mereka bermain dan ini adalah peluang terbaik kepada semua pemain berusia 21 tahun ke bawah menunjukkan kebolehan masing-masing untuk terus kekal dalam skuad hoki remaja.

“Bagi pemain yang telah berumur 21 tahun, ini juga merupakan peluang keemasan bagi mereka memikat minat jurulatih kebangsaan melamar mereka untuk menyertai skuad hoki kebangsaan,” katanya.

Muhammad Amin berkata SOJC 2016 adalah sebuah perlawanan yang sukar dan bertaraf tinggi memandangkan kesemua lima pasukan lain iaitu England, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Australia antara pasukan yang layak menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India pada Disember ini.

“Semua pasukan yang beraksi di SOJC 2016 adalah pasukan handalan dan ini merupakan peluang terbaik untuk setiap pemain remaja membuktikan kemampuan masing-masing memberi saingan kepada pasukan lawan,” katanya.

Katanya dalam pertandingan, semangat berpasukan adalah kunci kejayaan, justeru kerjasama dalam satu pasukan perlu terus dikekalkan kerana itu adalah teras dalam sukan hoki.

“Saya percaya dengan kebolehan dan kelebihan yang ada dalam setiap diri pemain, mereka mampu mempersembahakan aksi terbaik sepanjang cabaran SOJC 2016 berlangsung,” katanya. – BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial